Monday, 8 July 2013

Akta Hasutan: BN mungkir janji?

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng hari ini mendakwa keengganan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 menunjukkan bahawa BN tidak menepati slogan 'Janji Ditepati' semasa pilihan raya umum.

Malah, ia merupakan sikap degil yang ditunjukkan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang berjanji pada bulan lalu untuk menggantikan Akta Hasutan dengan Akta Harmoni Nasional.

“Kedegilan Ahmad Zahid tidak boleh diterima. Najib perlu menunjukkan kepastian dan kejelasan bahawa beliau bersungguh-sunguh untuk memansuhkan Akta Hasutan dengan menuntut Ahmad Zahid supaya menurut arahan, menukar pendirian dan menyokong pemansuhan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Ahmad Zahid sepatutnya meletak jawatan dari kabinet sekiranya terus berkeras untuk menarik balik tentangannya.

“Sekiraya tidak, Najib perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa beliau memungkiri janji BN dan curang kepada pengundi dengan tidak memenuhi janji untuk menghapuskan Akta Hasutan,” katanya.

Lim juga menangkis dakwaan Ahmad Zahid bahwa tiada peruntukan yang boleh digunakan untuk mengawal kandungan menghasut jika undang-undang itu dimansuhkan.

Katanya, peruntukan dalam Kanun Keseksaan masih berhubung kesalahan tersebut masih boleh digunakan, selain dengan mengemukakan saman sivil.

Zahid: Kabinet akan pinda, bukan hapus

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan Akta Hasutan 1948 harus dikekalkan.

Beliau berkata jika dihapuskan, empat perkara utama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak keistimewaan orang Melayu akan disentuh sesetengah pihak.

"Jika Akta Hasutan dihapuskan keseluruhannya, mereka berhak menyentuh empat perkara ini sedangkan telah termaktub dalam perlembagaan. Saya tidak akan berkompromi jika ada pihak yang menyentuh empat perkara ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Anti Dadah Antarabangsa di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, mana-mana pihak yang menyentuh empat perkara itu harus dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan 1948 yang sedia ada.

"Kabinet mahu melihat beberapa aspek sahaja (dan) tidak buat keputusan untuk menghapuskannya ... tapi meminda," kata beliau.

Semalam Ahmad Zahid menyelar sikap sesetengah pihak yang mendesak supaya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan tanpa memikirkan impak negatifnya.

Beliau menarik perhatian bahawa atas desakan pihak tertentu sebelum ini, kerajaan telah memansuhkan Ordinan Darurat 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mengenai pembentangan draf baharu Ordinan Darurat 1969, Ahmad Zahid berkata, ia dijangka siap selepas dibawa ke mesyuarat September ini dan pada masa sama ingin membetulkan kenyataan yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara telah menerima draf itu.

"Sebenarnya kita akan mengemukakan kepada AG Chambers, bahagian draf supaya akta itu dibawa ke Kabinet dan selepas itu baru dibawa untuk perbincangan pertama.

"Sekarang ini masih dalam peringkat perbincangan," kata Ahmad Zahid.

- Bernama

Komen Anda

0 Responses to "Akta Hasutan: BN mungkir janji?"