Tuesday, 18 June 2013

Ulama Gesa Rakyat Bangkit Tuntut Hak, Cegah Penipuan PRU

Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Ustaz Abdul Ghani Shamsudin berkata, umat Islam tidak boleh membiarkan penipuan tanpa sebarang usaha mencegah, terutamanya melibatkan sistem pilihan raya yang pincang.

“Pasrah kepada kezaliman dan penyelewengan bukan akhlak Islam. Kita wajib bangkit menuntut kembali hak kita yang dinafikan. Islam melarang kita melihat kemungkaran tanpa berusaha untuk mencegahnya,” katanya kepada Keadilan Daily.

Justeru, beliau menyokong penuh himpunan Black 505 dan menyeru rakyat Malaysia hadir beramai-ramai di Padang Merbok 22 Jun ini.

“Keputusan pilihan raya lalu mendedahkan seluruh rakyat kepada sistem demokrasi yang herot. Himpunan itu nanti menjadi platform terbaik menyedarkan rakyat hak mereka yang dicabuli pemerintah,” kata Ghani.

Katanya, sesebuah negara tidak akan dapat melahirkan rakyat yang bermaruah dan bermartabat akibat cara pemilihan pemimpin negara yang penuh tipu helah dan muslihat.

“Usaha dilakukan penganjur Blackout 505 patut disokong oleh semua rakyat yang cintakan keadilan,” tegasnya.

Komen Anda

0 Responses to "Ulama Gesa Rakyat Bangkit Tuntut Hak, Cegah Penipuan PRU"