Monday, 20 May 2013

Pengundi hantu cemar integriti SPR dan JPN

Kehadiran pengundi hantu dalam Pilihan Raya 2013 tegas Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli hari ini menyebabkan daftar pemilih yang disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diragui serta kewujudan kad pengenalan palsu telah mencemarkan integriti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan, kehadiran lapan pengadu yang dihalang untuk mengundi kerana kad pengenalan mereka telah digunakan pengundi hantu ketika Pilihan Raya 2013 lalu membuktikan bahawa keputusan Pilihan raya Umum ke-13 (PRU 13) diragui rakyat.

“Penyelewengan yang paling berleluasa adalah kehadiran pengundi hantu yang berpunca daripada daftar pengundi yang tidak bersih.

“Perkara ini membayangkan kelemahan dan mungkin keterlibatan dua badan yang bertanggungjawab iaitu SPR dan JPN ... kehadiran pengundi hantu membawa impak besar yang meruntuhkan keyakinan rakyat kepada integriti keputusan PRU13,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Ketika sidang media berkenaan, Rafizi turut memberikan salinan laporan polis lapan pengadu yang dinafikan hak mengundi kerana nama mereka telah dipotong kerani SPR pusat pengundian masing-masing disebabkan ada individu lain telah menggunakan nombor kad pengenalan untuk mengundi.

Daripada lapan mereka yang membuat laporan polis berkenaan, empat daripadanya adalah dari Selangor, dan satu masing-masing di Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu, dan Kelantan.

“Insiden seperti ini membuktikan wujud kad-kad pengenalan palsu yang dikeluarkan JPN yang telah diberikan kepada individu tertentu bagi tujuan menjadi pengundi hantu,” dakwanya.

“Saya tidak mengatakan keseluruhan JPN dan SPR terlibat... mungkin sebahagian mereka mengetahui perkara ini,” katanya lagi.

Sidang media hari ini adalah pendedahan bukti pertama didedahkan badan #siasat PRU13 yang disertainya, dan Rafizi turut berkata, beliau akan terus melakukan pendedahan termasuk membawa pengadu berkenaan dalam sidang medianya pada masa akan datang.

Pasukan #siasat PRU13 juga kata Rafizi sedang mendapatkan persetujuan pengundi-pengundi ini untuk membuat Akuan Bersumpah bagi mengukuhkan bukti yang ada.

“Insiden ini juga amat membimbangkan kerana ia membayangkan kegagalan JPN untuk memastikan kad pengenalan yang dikeluarkan adalah tulen, selamat dan unik kepada setiap rakyat Malaysia,” tambahnya.

“Saya mencabar SPR dan JPN untuk mengemukakan alasan mereka bagi dihakimi oleh mahkamah rakyat.” -TMI

Komen Anda

0 Responses to "Pengundi hantu cemar integriti SPR dan JPN"