Monday, 8 April 2013

Undi pecah, BN untung

Nampaknya Parti Hak Asasi (Human Rights Party) sudah memulakan kempen untuk bertanding merebut tiga kerusi Parlimen iaitu Kota Raja, Kelana Jaya dan Kuala Selangor, serta lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sri Andalas, Sri Muda, Seri Setia, Bukit Melawati dan Ijok.

Gambaran paling umum yang diberikan adalah seolah-olah “kubu kuat” HRP — yang merupakan serpihan berikutan perpecahan Hindraf — hanyalah di Selangor. Malah, seolah-olah HRP hanya mampu merebut kerusi yang ditandingi/dipertahankan calon Pakatan Rakyat (PR).

Suatu kebimbangan yang pasti wujud dalam kalangan pengundi di Parlimen dan DUN terbabit adalah kemungkinan undi penduduk (khususnya kaum India) pecah akibat keputusan wakil-wakil HRP bertanding sebagai calon bebas. Apabila undi berpecah antara calon PR dan HRP, calon Barisan Nasional (BN) yang akan untung besar.

Risalah kempen untuk Uthayakumar sudah mula diedarkan untuk memancing undi kaum India.Perkara ini saya timbulkan menerusi laman rangkaian sosial Facebook pada 6 April dan wakil HRP, A. Sugumaran tampil memberikan penjelasan. Rakan-rakan lain juga terlibat dalam perbincangan terbuka yang sekurang-kurangnya membuka ruang untuk berdialog tentang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Menurut Sugumaran, HRP mahu bertanding kerana Umno/BN dan PR “kedua-duanya menafikan hak orang India miskin. Mereka sudah tiada pilihan. Kalau tak mahu undi pecah, suruh Anwar Ibrahim beri laluan untuk HRP lawan BN”.

Nagathisen Katahenggam dari Jelutung, Pulau Pinang juga yakin bahawa tindakan HRP hanya bertujuan memecahkan undi dan akhirnya pihak yang mendapat faedah adalah BN. Kebimbangan ini memang wajar dan amat berasas kerana kesemua kerusi yang ditandingi HRP adalah milik PR selepas PRU-12.

Berbalik kepada kenyataan Sugumaran mengenai hak orang India miskin dinafikan, saya tertanya-tanya apakah HRP memperjuangkan hak pengundi kaum India miskin sahaja? Tambahan pula, itulah gambaran jelas yang diberikan menerusi risalah HRP yang turut diedarkan di sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam dan saya juga menerimanya pada 5 April.

Sugumaran, seorang guru swasta yang tinggal di Kota Kemuning, Shah Alam segera menafikan kata-kata itu. Menurutnya, HRP bersikap antirasisme.

“Kami tidak mahu mana-mana kerajaan amalkan/teruskan polisi perkauman yang menindas orang India miskin secara langsung dalam segenap lapangan. Kami tidak percaya pada retorik politik kononnya PR berjuang untuk semua kaum. Makna ‘semua kaum’ bagi PR hanya merujuk kepada kaum Melayu dan Cina!” Demikian kata jurucakap HRP kelahiran Bedong, Kedah itu.

Seorang kenalan dari Taman Sri Muda, Adam Farhan yang merupakan bakal pengundi Parlimen Kota Raja dan DUN Sri Muda turut mengemukakan pandangan.

Pada pengamatan Adam, taktik yang cuba diamalkan oleh HRP adalah “muslihat tertua dalam politik” iaitu teknik “pecah dan perintah”. Pemuda ini adalah pemerhati politik dan hasil perbualan saya bersama-samanya sebelum ini, Adam memang memiliki pengetahuan dan maklumat yang mendalam mengenai hal-hal politik.

“Taktik pecah undi bukan sesuatu yang baru. Apabila sudah tahu tidak boleh menang majoriti, maka pihak tertentu akan cuba pecahkan undi pihak lawan. Berdasarkan statistik yang ada di tangan saya, sekitar 95 peratus pengundi Cina di Kota Raja akan mengundi calon PR. Sekitar 84 peratus pengundi India dan hampir 44 peratus pengundi Melayu juga dijangka memilih PR.

Adam berharap kaum India menyedari taktik pecah undi yang cuba diterapkan.“BN tahu bahawa mustahil untuk mendapatkan kembali undi kaum Cina. Sokongan orang Melayu pada BN masih kuat. Maka, undi kaum India di Kota Raja dan Sri Muda cuba dipecah kerana ramai pengundi India di sini. Kalau undi kaum India berpecah antara PR dan HRP di Parlimen dan DUN terbabit, ada peluang BN menang dengan majoriti kecil. Saya harap pengundi kaum India menyedari taktik politik yang cuba diterapkan ini,” katanya.

Saya juga tertanya-tanya mengapa HRP secara khusus hanya bertanding di tiga kerusi parlimen dan lima kerusi DUN yang dikuasai PR di Selangor.

“Kota Raja mempunyai pengundi kaum India yang terbanyak (29 peratus) di Malaysia dan satu per tiga penduduk kaum India tinggal di Selangor. Kawasan ini juga mempunyai penyokong Hindraf yang paling ramai terlibat dalam Perhimpunan Hindraf (November 2007). Jadi ini adalah tempat terbaik untuk Hindraf menang,” Sugumaran menjelaskan.

Mengenai soal memecah undi pula, guru swasta itu bertanya: “Mengapa perlu menghadapi risiko undi pecah? Mintalah Anwar menerima Uthayakumar sebagai calon PR di Kota Raja. PR pasti memang dan pengundi kaum India seluruh negara tidak akan keliru siapa yang perlu diundi. Kami sokong PR hanya jika PR menerima calon kami. Apa kurangnya Uthayakumar?”

Komen Anda

0 Responses to "Undi pecah, BN untung"