Sunday, 21 April 2013

Pembelot Dan Bebas Warnai Penamaan Calon PRU13

Pembelot Dan Calon Bebas Warnai Hari Penamaan Calon PRU13Proses penamaan calon bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) hari ini berjalan lancar, namun parti pemerintah dan pembangkang terpaksa berdepan dengan segelintir pembelot dalam kalangan anggotanya yang bertanding sebagai calon Bebas kerana tidak berpuas hati tentang pemilihan calon.

Perpecahan dalam pakatan pembangkang nampaknya semakin teruk apabila PAS dan PKR meletakkan calon masing-masing di enam kawasan, termasuk bagi kerusi Parlimen Labuan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak para pemimpin dan anggota parti komponennya melupakan tentang pemilihan calon dan sebaliknya bekerjasama rapat sebagai sebuah keluarga untuk memastikan BN mencapai kemenangan cemerlang pada 5 Mei ini.

Najib, yang memimpin BN untuk menghadapi pilihan raya umum untuk julung kalinya setelah menjadi perdana menteri, melonjakkan semangat jentera pilihan raya Gelombang Biru BN apabila beliau menyerahkan kertas pencalonan bagi mempertahankan kubu kuatnya, kerusi Parlimen Pekan.

"Inilah masanya untuk kita meneruskan apa yang telah kita rancang sejak lima tahun lepas. Inilah juga kemuncaknya. Janganlah sekali-kali kita mempersia-siakan segala yang telah kita capai. Aku janji yang dibuat kepada rakyat dan manifesto BN merupakan komitmen kita kepada pengundi dan seluruh rakyat Malaysia," kata Najib yang memakai baju Melayu berwarna biru, sebagai lambang BN.

Umno secara automatik memecat enam anggotanya iaitu Naib Ketua Wanita Datuk Kamilia Ibrahim, bekas Menteri Pertanian Datuk Seri Mohd Shariff Omar, bekas anggota Exco Kedah Fadzil Hanafi dan anggota jawatankuasa Umno Gua Musang Abdul Aziz Mohamed kerana bertanding sebagai calon Bebas serta Abdullah Mamat yang menjadi pencadang dan Husin Omar, yang menyokong pencalonan Abdul Aziz. DAP pula memecat dua anggotanya, penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him dan Jenice Lee, kerana bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi DUN Teratai di Selangor.

Proses penamaan calon selama sejam dari 9 pagi bagi 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi negeri yang dipertandingkan pada pilihan raya umum paling sengit dalam sejarah Malaysia ini berjalan lancar, walaupun melibatkan kehadiran ramai calon serta penyokong masing-masing.

DAP, yang sedang disiasat Pendaftar Pertubuhan berhubung penyelewengan dalam pemilihan parti itu Disember lepas, tidak menghadapi masalah apabila calonnya dibenar menggunakan simbol parti itu bagi tujuan penamaan calon.

Sebanyak 132 kerusi Parlimen akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu, 57 pertandingan tiga penjuru, 24 pertandingan empat penjuru, tujuh pertandingan lima penjuru dan satu pertandingan tujuh penjuru.

Sebanyak 320 kerusi negeri pula melibatkan pertandingan satu lawan satu, 107 pertandingan tiga penjuru, 42 pertandingan empat penjuru, 25 pertandingan lima penjuru, 10 pertandingan enam penjuru dan satu pertandingan tujuh penjuru.

BN bertanding di 221 kerusi Parlimen, kurang satu daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan berikutan satu kejadian ganjil yang berlaku di Pasir Mas, Kelantan apabila calonnya Che Johan Che Pa tidak mengemukakan kertas pencalonan.

Kejadian itu memberi laluan kepada penyandang kerusi berkenaan, yang juga presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, untuk bertanding satu lawan satu dengan calon PAS Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, anak kepada Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagi kerusi Parlimen, PAS meletakkan calonnya di 73 kerusi, DAP 51 dan PKR 99, dengan calon PKR dan PAS bertembung di Labuan untuk mewujudkan pertandingan tiga penjuru dengan calon BN.

Bagi pertandingan untuk 12 Dewan Undangan Negeri (DUN), BN meletakkan calonnya di kesemua 505 kerusi, manakala PAS bertanding di 236 kerusi, DAP 102 dan PKR 172.

PAS dan PKR sekali lagi akan bertembung di lima kerusi negeri iaitu Kota Damansara (Selangor), Panti (Johor), Sungai Acheh (Pulau Pinang) dan Kota Putera serta Bukit Besi di Terengganu.

Kebanyakan calon BN Melayu, termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, memakai baju Melayu berwarna biru ketika berada di pusat penamaan calon, dengan diiringi penyokong masing-masing yang mengebarkan bendera parti.

Najib, yang mengekalkan kerusi Pekan dengan 26,464 undi majoriti pada 2008, sekali lagi dicabar calon PKR dan kali ini, Fariz Musa, anggota majlis pusat parti itu.

Muhyiddin pula sekali lagi ditentang Mohd Rozali Jamil, yang beliau kalahkan pada pilihan raya umum lepas ketika mempertahankan kerusi parlimen Pagoh.

Pertandingan di Gelang Patah, yang disifatkan sebagai "ibu segala pertandingan" pada pilihan raya umum kali ini, akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan penasihat DAP Lim Kit Siang untuk menguasai kawasan majoriti kaum Cina itu, berikutan penarikan diri calon bebas.

Ini merupakan pertandingan pertama bagi Abdul Ghani untuk merebut kerusi parlimen sejak beliau menjadi menteri besar pada 1995, manakala Lim pula pertama kali melangkah untuk bertanding di Johor, dengan memilih kerusi Gelang Patah, yang dimenangi calon MCA pada 2008.

Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel, yang kembali bertanding setelah kalah di Hulu Selangor pada 2008, terpaksa berdepan dengan ramai calon lain dalam usahanya memenangi kerusi parlimen Cameron Highlands.

Beliau terlibat dalam pertandingan lima penjuru bersama calon DAP M. Manogaran iaitu bekas anggota Parlimen Teluk Intan, Mohd Shokri Mahmood (Berjasa) serta dua calon bebas N. P. Kisho Kumar dan T. Alagu.

Di Pulau Pinang, ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadapi pertandingan tiga penjuru apabila ditentang calon BN Dr Mazlan Ismail dan calon Bebas Dr Abdullah Zawawi Samsudin bagi kerusi parlimen Permatang Pauh.

Pengerusi DAP Karpal Singh akan bertanding satu lawan satu menentang calon BN Teh Beng di Bukit Gelugor, manakala setiausaha agung DAP, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, menghadapi dua calon muka baharu Chua Teik Siang dariada BN dan Lim Kim Chu daripada Parti Cinta Malaysia dalam usahanya mempertahankan kerusi parlimen Bagan dan berdepan dengan clon BN Tan Ken Keong bagi mempertahankan kerusi DUN Air Puteh, yang dimenanginya pada pilihan raya umum lepas.

Nik Abdul Aziz, 82, akan ditentang calon BN Wan Razman Wan Abd Razak di kerusi DUN Chempaka.

Di Terengganu, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga terlibat dalam pertandingan satu lawan satu menentang bekas ADUN Pengkalan Berangan daripada BN untuk mempertahankan kerusi Parlimen Marang dan menentang calon BN Nik Dir Nik Wan Ku bagi kerusi DUN Rhu Rendang.

-- BERNAMA

Komen Anda

0 Responses to "Pembelot Dan Bebas Warnai Penamaan Calon PRU13 "