Monday, 8 April 2013

PAS : Jangan Curi Kerusi Kami?

Jangan curi kerusi PasPas Pusat mengesahkan tidak akan melepaskan mana-mana kerusi milik mereka untuk memberi laluan kepada rakan pakatan lain mendapat tambahan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tiada kerusi Pas dilepaskan, sebaliknya kemungkinan berlaku proses pertukaran kerusi antara calon parti dalam Pakatan Rakyat.

“Itu (kerusi Pas) tidak ada lepas melepas, kita tukar menukar (kerusi) itu adalah. Proses pertukaran dapat disaksikan semasa hari penamaan calon, tidak boleh umum sekarang,” katanya kepada media semasa menghadiri majlis ceramah Pelancaran Manifesto PRU13, Pakatan Rakyat Kedah di Kompleks Pas Kedah, Batu 9, di sini.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik; anggota Jawatankuasa Eksekutif DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Ir Zamri Yusuf.

Sebelum ini, Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa memaklumkan Pengerusi Jabatan Pilihan Raya Pusat PKR, Mohamed Azmin Ali akan membuat rundingan supaya Pas sedia melepaskan satu kerusinya atas semangat setia kawan rakan pakatan.

Wan Salleh berkata, mereka cuba berbincang dengan Pas supaya dapat memberi pertimbangan sewajarnya supaya melepaskan satu daripada mana-mana kawasan Pas di negeri Kedah kepada PKR.

Katanya, jika Pas sudi lepaskan satu kerusi pada PKR, kita juga akan bersedia untuk melepaskan kerusi kepada DAP bagi menyelesaikan kemelut pertembungan tiga penjuru antara PKR dan DAP seperti di kerusi Derga pada pilihan raya umum lalu.

Difahamkan di Kedah, sebelum ini berlaku perebutan kerusi melibatkan Parlimen Alor Setar dan Padang Serai manakala kerusi Dun ialah kawasan Bakar Bata, Gurun, Bakar Arang, Lunas dan Derga.

Pada pilihan raya umum lalu, Kedah yang mempunyai 36 kerusi Dun menyaksikan Pas bertanding di 24 kerusi, PKR (10 kerusi) dan DAP (dua kerusi) manakala DAP dan PKR bertembung di kerusi Dun Derga.

Manakala di Perak, Pas kawasan Bagan Serai mengumumkan tetap akan meletakkan calonnya di Parlimen Bagan Serai walaupun Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty di kawasan berkenaan.

Sementara itu mengulas mengenai calon, Abdul Hadi berkata, proses memuktamadkan senarai nama-nama calon sudah siap 99 peratus dan kini dalam proses peringkat penelitian terakhir untuk dikemukakan setelah mendapat kelulusan daripada Majlis Syura Ulama.

“Kita lebih awal selesaikan nama calon berbanding Barisan Nasional, itu menunjukkan kita lebih cepat menyelesaikan masalah dalaman Pakatan Rakyat bukan sahaja di kalangan parti masing-masing tetapi di kalangan rakan pakatan.

“Pas akan bertanding 76 kerusi Parlimen pada pilihan raya kali ini dengan 237 kerusi Dun seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyerahkan kepada keputusan parti untuk menentukan kawasan bakal ditandinginya.

“Kita kena tunggu hari pengumuman, saya tidak boleh buat keputusan sendiri terpulang pada parti mahu letak di mana asal bukan bertanding di Singapura sudahlah,” selorohnya.

-sinarharian.com

Komen Anda

0 Responses to "PAS : Jangan Curi Kerusi Kami?"