Monday, 15 April 2013

PAS dapat restu bertanding 7 Parlimen Sarawak

Datuk Sri Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengesahkan bahawa PAS Sarawak akan bertanding di 7 kawasan parlimen di Sarawak. Perkara ini telah dinyatakan oleh beliau dalam sidang media di pejabat PAS Kota Samarahan, Kuching pada hari Ahad 14hb April 2013.

Sebelum sidang media bermula, semua calon yang terpilih telah Bai`ah bermaksud berjanji untuk taat setia atau bersumpah dengan aku janji di hadapan Tuan Guru Presiden PAS. Hj Hadi memberi nasihat dan juga mengingatkan calon-calon PAS agar sentiasa taat dan setia dengan parti yang telah memberi amanah untuk jadi calon. Jangan mengkhianati amanah yang telah diberi oleh parti dan juga rakyat.

Kesemua 7 calon PAS telah diberi watikah perlantikan atau surat pengesahan untuk menjadi calon PAS dalam Pilihanraya Umum ke13 nanti. Antara lain PAS Sarawak juga mencalonkan golongan bukan Islam dari ahli DHPP (Dewan Himpunan Penyokong PAS) Sarawak sebagai calon untuk parlimen Julau, iaitu Dr Ambrose Labang Jamba. Inilah pertama kali PAS meletakkan calon bukan Islam sebagai calon parlimen di Sarawak.

Selain parlimen Julau, PAS Sarawak turut mencalonkan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus untuk kerusi Parlimen Kota Samarahan, Dr Mohd Jolhi (Batang Sadong), Jurina Mut (Tanjung Manis), Nani Sahari (Mukah), Ajiji Fauzan bagi kerusi Parlimen Igan dan akhir sekali Robby Tandang (Sibuti).

Kesemua calon tersebut telah mendapat restu dari pimpinan PAS pusat termasuk juga dari pimpinan PR (Pakatan Rakyat) di peringkat pusat untuk mewakili PR dalam PRU13 nanti. Kita harap dengan keputusan ini, semua jentera PR dapat bergerak bersama tanpa mengira dari parti mana dalam Pakatan yang akan bertanding.

Ahli-ahli serta penyokong PR seharusnya taat, patuh serta menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pimpinan pusat demi mencapai impian rakyat. Tiada gunanya bergaduh sesama sendiri sedangkan matlamat kita sama.

Kita tidak mahu mendengar ada sebarang perasaan tidak puas hati dikalangan ahli serta penyokong PR dalam pembahagian kerusi sehingga menyebabkan berlaku perpecahan disaat akhir seperti apa yang berlaku semasa pilihanraya umum negeri Sarawak yang lalu. Hari penamaan calon hanya tinggal beberapa hari lagi.

Janganlah hanya disebabkan perebutan beberapa kerusi, rakyat jadi keliru dan tidak yakin akan perpaduan dalam PR. Elakkan perselisihan faham disaat ini dimana kita perlu bersatu untuk menumbangkan BN.

Belajarlah dari kesilapan yang lalu, agar ianya tidak berulang lagi, apabila kita berselisih sesama sendiri di saat-saat akhir ini akan menguntungkan pihak musuh, Kita sedang berlawan dengan musuh kita yang sama, maka hindarilah perasaan tidak puas hati tersebut dari merosakkan perpaduan dan persiapan yang telah kita lakukan bersama selama ini.

Perbuatan mereka yang cuba memecah-belahkan PR seharusnya dihentikan dengan segera, janganlah disebabkan oleh kepentingan peribada dan tidak puas hati menyebabkan rakyat terus menderita dibawah pemerintahan yang zalim selama ini.

Ini kalilah masa untuk kita bersama rakyat menukar kerajaan yang ada sekarang kepada yang lebih baik. Bersatu kita teguh, bercerai Pakatan akan runtuh. Sepakat membawa berkat.

Komen Anda

0 Responses to "PAS dapat restu bertanding 7 Parlimen Sarawak"