Wednesday, 24 April 2013

Mengapa rakyat berubah sokong Pakatan?

Secara imbas, peningkatan sokongan orang ramai terhadap Pakatan Rakyat adalah kerana perubahan generasi yang baru sedang menolak BN.

Tetapi di sudut lain, apa yang menyebabkan perubahan ini ialah teknologi dan berlalunya ancaman komunis ekoran kejatuhan Kesatuan Soviet.

Dari segi teknologi, adanya kaset pada tahun 80-an, laman web pada tahun 90-an, blog pada tahun 2000-an dan laman sosial pada tahun 2010-an menjadikan usaha menguasai minda rakyat oleh BN semakin kurang berhasil.

Sementara berakhirnya ancaman komunis membuatkan sebarang langkah pengawalan maklumat dan penguasaan kegiatan atas nama keselamatan sudah tidak boleh diterima.

Ini bermakna kejayaan Perikatan-BN selama ini adalah kerana penguasaan maklumat dan kegiatan rakyat. Justeru, rakyat tidak memperoleh aliran pemikiran berbeza sehinggakan mereka menerima apa saja yang diberitahu.

Maka dalam hal ini kemenangan Perikatan-BN selama 13 pilihan raya termasuk yang diadakan pada tahun 1955 adalah atas ketidakdilan.

Masakan tidak, dari awal lagi parti-parti yang menentang Umno ditekan dan dinafikan hak yang sama. Pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) umpamanya, ditahan secara ramai, dan sudah tentu kekosongan politik diisi cepat oleh Umno.

Selepas merdeka, syarikat Utusan Melayu diambil alih Umno dan serentak itu suara selain daripada Perikatan seperti PAS dan Parti Rakyat tidak mendapat sebarang ruang.

Itu belum dikira bagaimana pemimpin tertinggi PAS dan Parti Rakyat ditahan ISA yang serentak itu melumpuhkan sebarang tawaran politik alternatif.

Tindakan ke atas pihak penentang Umno dibuat atas alasan keselamatan negara, yang ketika itu diancam Parti Komunis Malaya (PKM) dan Indonesia.

Adalah tidak adil pemimpin parti politik yang menyertai demokrasi dianggap sebagai ancaman keselamatan. Adakah penahanan mereka benar-benar mengancam negara atautindakan itu dibuat atas kepentingan politik Umno.

Peristiwa 13 Mei telah menyempitkan ruang politik demokrasi. Lebih-lebih lagi BN ditubuhkan atas asas mengurangkan politik untuk lebih tumpuan pada pembangunan.

Sedangkan politik yang pelbagai mampu mengimbangkan pembangunan supaya tidak berlakupenyelewengan, kesilapan dan rasuah.

Sememangnya Malaysia menentang komunis, tetapi dalam tindakannya ia mengambil beberapa cara; ada yang baik, dan tidak kurang pula buruk.

Pertama, penguasaan ke atas media adalah seperti dilakukan pihak komunis. Ada buku diharamkan. Propaganda parti dengan slogan serta gambar besar pemimpin tidak jauh daripada amalan komunis.

Demokrasi tidak sepatutnya seperti itu. Akhirnya apa yang berlaku ialah kurangnya ruang untuk kritikan dan ia membawa kepada kelemahan dalam pelaksanaan dasar, maka ia jadi mediokrasi - kesederhanaan dalam pencapaian.

Tetapi paling penting, keadaan ini membolehkan BN menang mudah. Oleh itu kegagalan parti lain bukan kerana rakyat menolak mereka semata-mata tetapi mesej tidak dapat disampaikan.

Pada 1999, maka bermulalah revolusi Internet yang membolehkan rakyat menerima mesej alternatif. Buat pertama kali, beberapa kawasan telah ditembusi PAS.

Tetapi kegunaan Internet masih belum meluas dan kemenangan adalah terhad serta sementara.. Maka Abdullah Ahmad Badawi menang besar tetapi majoriti dua pertiga BN dinafikan pada 2008. Ketika itu Internet bertambah meluas.

Cuba bayangkan, kalau media tidak dikawal sejak pilihan raya umum pertama, nescayaUmno tidak boleh bertahan begitu lama. .

Namun dalam PRU13, pihak BN juga telah menggunakan Internet secara besar-besaran. Dengan peruntukan dan jentera besar, mereka percaya mengatasi pihak lawannya. Namun, rakyat sudah dapat menilai dan tidak sabar-sabar lagi mahu berubah!

Oleh ABU FIRDAUS

Komen Anda

0 Responses to "Mengapa rakyat berubah sokong Pakatan?"