Monday, 15 April 2013

MCA Dalam Gelora : 2 Naib Presiden Tidak Terpilih?

Tiga pemimpin kanan MCA termasuk dua naib presiden dan juga bekas presiden, tidak terpilih mewakili parti itu dalam pilihan raya umum kali ini.

Mereka ialah Naib Presiden Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Senator Gan Ping Sieu.

Turut digugurkan ialah bekas presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat.Beliau yang mewakili Parlimen Pandan sebelum ini merupakan nama yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai sama ada akan turut dipilih semula sebagai calon atau tidak.

Kini teka-teki tersebut sudah terjawab.

MCA juga tidak menyenaraikan calon mereka di kerusi Gelang Patah sekaligus menguatkan lagi spekulasi yang tempat itu akan ditandingi oleh wakil Umno iaitu Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Ketua MCA Gelang Patah, Jason Teoh tidak disenaraikan langsung untuk mana-mana kerusi.

Kesemua yang digugurkan atau tidak terpilih semula adalah bagi memberi laluan kepada 19 muka baru yang akan diperkenalkan oleh MCA kali ini.

Presiden MCA,Datuk Seri Dr Chua Soi Lek ketika mengumumkan senarai calon parti itu lewat petang ini menyatakan MCA hanya akan bertanding di 37 kerusi parlimen dan 90 kerusi negeri.

Jumlah itu kurang tiga kerusi yang mereka wakili untuk bertanding pada pilihan raya umum yang lalu.

Beliau turut menyifatkan ini adalah pertarungan hidup dan mati parti itu dan oleh yang demikian menyeru semua ahli parti memastikan kelangsungan pemerintahan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan masa depan MCA terjamin.

Untuk kerusi parlimen ujarnya, MCA mempertaruhkan nasib dan harapan ke atas 21 orang calon daripada jawatankuasa pusat parti, 11 calon daripada Pemuda dan lima calon dari sayap Wanita.

Kesemua calon Wanita adalah terdiri daripada muka-muka baru.

Untuk kerusi negeri pula, beliau menyatakan MCA meletakkan harapan kepada 53 calon dari pusat, 25 calon Pemuda dan 12 calon dari Pergerakan Wanita.

MCA mengumumkan nama-nama calon untuk semua kerusi yang ditandinginya melainkan untuk kerusi Parit Yaani di Johor atas sebab-sebab teknikal.

Sementara itu, lain-lain pemimpin parti yang digugurkan termasuklah ahli Jawatankuasa MCA Pusat yang juga Ketua MCA Kuantan, Datuk Ti Lian Ker dan Ketua MCA Tebrau, Teng Boon Soon.

Naib Ketua Wanita, Datuk Heng Seai Kie bagaimanapun terpilih sebagai calon untuk kerusi Parlimen Padang Serai manakala Jessie Ooi, yang sebelum ini diberi jolokan ‘Ms Two Truck’, turut terpilih untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baru.

Calon termuda MCA ialah Ketua Pemuda Kampar, Daniel Wa Wai How, 25, yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Keranji, Perak manakala calon paling tua, ialah Ketua Biro Penerangan MCA Selangor, Datuk Yap Pian Hon, 70, yang akan bertanding di kerusi Parlimen Serdang. -Mstar

Komen Anda

0 Responses to "MCA Dalam Gelora : 2 Naib Presiden Tidak Terpilih?"