Thursday, 4 April 2013

Kehebatan calon dari Pakatan Rakyat

Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wajah muram dan kelihatan sugul telah membubarkan Parlimen kelmarin untuk memberi laluan kepada PRU Ke-13 dalam suasana yang kelihatan tidak memihak kepada Umno/BN atas pelbagai isu.

Mengapa beliau bermuram durja ketika berucap membubarkan parlimen, tersasul pula menyebut 2012, pada hal 2013, adakah kerana tekanan para menteri, atau masalah dalam BN?

Dalam masa yang sama kelmarin, Pakatan Rakyat telah mengumumkan nama-nama besar calonnya untuk bertanding, di samping akan menyusul lagi pengumuman bakal calon Pakatan dari masa ke semasa.

Pemimpin Pakatan telah mengumum, setakat ini, dua jeneral bersara akan bertanding sebagai calon Parlimen di Johor Bahru dan Baling Kedah.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah membuat pengumuman dramatik bahawa bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) yang mengisytiharkan menyertai PAS baru-baru ini, Briged Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad, akan bertanding di Parlimen Baling pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Sementara Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan pula akan bertanding di Parlimen Temerloh dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, seorang peguam, akan bertanding di Parlimen Titiwangsa.

Presiden PAS itu turut mengumumkan penyertaan bekas Duta Malaysia ke Australia, Arab Saudi dan Iran, Datuk Adnan Othman ke dalam PAS.

Datuk Seri Presiden ketika mengumumkan bakal-bakal calon itu berkata, calon-calon lain akan diumumkan oleh PAS dari masa ke semasa.

Sebelum ini, Lim Kit Siang diumumkan akan bertanding di parlimen Gelang Patah dan Liew Chin Tong di Kluang. Sementara bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari dijangka akan bertanding sebagai calon PAS di Larut.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali di sidang akhbar itu mengesahkan kawasan Parlimen Larut akan diwakili oleh Datuk Fauzi Shaari.

Sehubungan itu, kata Mustafa, masalah calon di kawasan itu sudah pun diselesaikan dan ia diterima baik oleh akar umbi parti itu.

Sementara itu, Pakatan Rakyat terus membariskan 'heavyweight' di Johor dengan meletakkan bekas Ketua Turus Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein sebagai calon PKR untuk kerusi Parlimen Johor Bahru.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan bahawa Choong sebagai calon kerusi parlimen Tebrau, Nor Hizwan Ahmad (parlimen Muar) dan Datuk Idris Jauzi (parlimen Batu Pahat).

Choong adalah timbalan setiausaha agung PKR dan dikaitkan sebagai penyokong kuat Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng.

Sementara Nor Hizwan - anak kelahiran Muar - pernah bersama MAS, dan aktif di PKR Ampang sebelum dilantik sebagai penyelaras PKR bagi parlimen Muar.

Idris adalah Naib Presiden NGO Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) dan bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Hubungannya dengan Anwar bermula sejak Anwar berada dalam kerajaan, sewaktu Idris menjadi timbalan ketua pengarah Biro Tata Negara (BTN).

Anwar membuat pengumuman itu di depan ribuan penyokong di Ceramah Perdana Merdeka Rakyat di Kampung Datuk Sulaiman Menteri, Johor Bahru malam kelmarin.

Pada pilihan raya umum 2008, Tan Sri Shahrir Samad - tokoh Umno menewaskan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hassan Karim dengan majoriti 25,349 undi.

Dengan pengumuman itu, ia dilihat sebagai usaha Pakatan Rakyat untuk 'menawan' negeri di selatan semenanjung Malaysia - yang sebelum ini dianggap simpanan tetap BN.

Sementara itu di Kedah, jika perkiraan dibuat berdasarkan majoriti yang diperoleh dalam pilihan raya umum 2008, Pakatan Rakyat sudah selamat di sekurang-kurangnya 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah dan hanya memerlukan tiga lagi kerusi untuk sekali lagi menang mudah.

Di Kelantan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat mengesahkan PAS Kelantan sudah menyiapkan senarai calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Beliau berkata, hingga semalam, tiada apa-apa masalah berlaku dalam proses penyenaraian calon di negeri ini sehingga Parlimen dibubarkan.

“Kira selesai, tiada masalah. Kita tahu Umno terlalu lemah sekarang ini, sebab itu dia (Umno) bagi duit kepada rakyat. Bagi duit kerana apa? Sama ada rasuah, maka rasuah itu haram, demokrasi pun kata haram, Islam pun kata haram,” katanya.

Sementara itu, banyak lagi calon berwibawa akan dikemukakan oleh PAS/Pakatan dari negeri-negeri yang kini belum lagi diumumkan.

Dijangka calon itu dari pelbagai golongan – paduan dari ulama, profesional, tokoh pendidik, bekas pensyarah, bekas pegawai kerajaan dan sebagainya.

Dengan kombinasi yang baik ini prestasi Pakatan Rakyat dikayakini akan jauh lebih baik dari PRU 2008. Kerana itu pihak yang meramalkan kononnya tidak akan berlaku lagi tsunami politik dalam PRU akan datang hanya agakan saja, yang dibina berasaskan kebencian kepada Pakatan Rakyat.

Oleh itu, tidak syak lagi, kekuatan PAS/Pakatan Rakyat ialah kerana kejayaannya menggembling semangat, pemikiran aspirasi dan tenaga rakyat, dipadukan di tengah sebuah gelombang kebangkitan rakyat yang didukung oleh generasi baru.

Ini menghairankan orang Umno sendiri dan penyokongnya, yang selama ini tidak pernah mereka alami. Dalam masa yang sama anak muda yang pulang ke kampung membawa berita perkembangan terkini di bandar di mana sama sekali mereka tidak pernah lihat dan dengar melalui media tradisional.

Inilah perkembangan baru yang menakutkan Umno/BN dalam menghadapi PRU akan datang. Lebih-lebih lagi apabila golongan anak muda beriringan menyaksikan bekas general, bekas pegawai tinggi polis, bekas pegawai tinggi kerajaan, malah para artis menyertai Pakatan Rakyat. -DD

Komen Anda

0 Responses to "Kehebatan calon dari Pakatan Rakyat"