Sunday, 14 April 2013

BN Umum Calon PRU13 Esok?

Barisan Nasional (BN) akan menyerahkan surat tauliah calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kepada pengerusi BN negeri esok, lima hari sebelum penamaan calon Sabtu ini.

Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN Datuk Ahmad Maslan berkata majlis itu akan diadakan di Ibu Pejabat BN di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Beliau berkata pengerusi BN negeri akan pulang ke negeri masing-masing untuk mengumumkan calon-calon PRU13 BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

“Kebanyakan negeri dijangka membuat pengumuman esok dan Selasa ini, dan itu semua terpulang kepada mereka (pengerusi-pengerusi negeri),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menyampaikan surat tauliah itu kepada pengerusi BN negeri.

Sementara itu di Kota Bahru, Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pengumuman calon BN negeri itu akan diumumkan selepas mendapat lampu hijau daripada Najib. “Kemungkinan esok muktamad (senarai calon),” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media BN Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata BN Kelantan telah mengemukakan cadangan calon yang terdiri daripada muka lama dan baharu, tokoh agama, Pemuda dan Wanita, dan senarai itu telah mendapat pandangan daripada semua pihak, termasuk perbincangan dengan ketua-ketua Umno bahagian masing-masing.

Beliau berharap mereka yang tidak dicalonkan, tidak merajuk dan mengkhianati parti itu seperti mensabotajnya dengan “cah keting”.

“Kalau merajuk sekali pun fikirlah yang kita perlu kembali untuk bekerja demi untuk merampas Kelantan daripada PAS dan untuk masa depan rakyat yang perlukan pembelaan kita,” katanya.

Sementara itu, BN Johor dan Kedah dijangka mengumumkan calon BN negeri masing-masing pada pagi Selasa, kata jurucakap BN di kedua-dua negeri terbabit.

Di Shah Alam, Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar berkata BN negeri itu akan menampilkan beberapa muka baharu yang terdiri daripada golongan profesional, guru dan wakil badan bukan kerajaan, terutama untuk kerusi DUN yang BN tewas pada PRU lepas.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis Mesra Komuniti Usahawan Selangor anjuran Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional di sini, beliau berkata BN Selangor telah meminta Najib, yang juga Pengerusi BN negeri itu, mengumumkan dan menyampaikan sendiri surat tauliah kepada calon negeri itu.

BN akan menurunkan calon-calonnya untuk bertanding di kesemua 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Pada pilihan raya umum 2008, BN memenangi 140 kerusi Parlimen dan 307 kerusi DUN. SPR pada Rabu lepas menetapkan penamaan calon Sabtu ini dan pengundian pada 5 Mei. — Bernama

Komen Anda

0 Responses to "BN Umum Calon PRU13 Esok?"