Friday, 5 April 2013

Antara serigala dan 2 ekor singa

TATKALA satu Malaysia hangat membincangkan kemungkinan pertukaran kerajaan Persekutuan dalam PRU13, "majoriti dua pertiga dalam Parlimen" pula dijadikan sasaran oleh pemimpin Umno-Barisan Nasional.

Sama ada bekas Perdana Menteri seperti Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi, ataupun yang bakal menjadi bekas PM, Najib Razak terus mengulangi keyakinan dan harapan mereka agar BN mampu mengembalikan majoriti dua pertiga dalam Parlimen.

Padahal, kejayaan menawan 140 daripada 222 kerusi Parlimen dianggap sebagai prestasi yang cukup baik, seandainya berlaku di negara demokrasi yang lain.

Bayangkan, kira-kira 63% kerusi Dewan Rakyat ditempah atas tiket BN. Tetapi keputusan PRU12 pada malam 8 Mac 2008 disambut BN sendiri seolah-olah mereka kalah teruk dan menjadi pembangkang di peringkat Persekutuan. Barangkali mereka sedar akan hakikat bahawa undi popular yang diraih BN hanyalah 51.4%.

Maka pimpinan Umno-BN terus menegaskan betapa pentingnya bagi sesebuah kerajaan untuk menguasai majoriti dua pertiga dalam Parlimen. Tanpa majoriti dua pertiga kerajaan akan menjadi lemah. Menurut logik ini, seandainya sesebuah kerajaan menjadi lemah, maka ia akan dicabar oleh rakyat.

"Kerajaan kuat" cuba dijadikan "mitos" dalam masyarakat. Mitos ini sedikit sebanyak berunsur "perkauman", lebih-lebih lagi apabila keluar dari bibir Mahathir. Beliau cuba menyamakan "kerajaan" dengan "Melayu", dan makna tersirat yang ingin disampaikan adalah, kerajaan yang lemah akan menjurus kepada situasi di mana kedudukan Melayu bakal dicabar oleh orang bukan Melayu. Malah, persaingan antara Umno-BN dengan PAS-KEADILAN dalam Pakatan Rakyat, bakal melemahkan kedudukan Melayu.

Perdebatan ini agak meleset kerana kita sedar kerajaan yang kuat inilah yang mengkhianati mandat yang diberikan rakyat. Kerajaan yang kuat ini tidak mempertahankan masa depan anak-anak kita apabila Lynas masuk dan meninggalkan sisa nadir bumi yang beracun di Kuantan.

Maka lebih baik kita ambil iktibar daripada satu cerita yang memberi gambaran apakah hikmahnya di sebalik "sistem dua parti", yang hangat dibincangkan sekarang.

Maka Pencipta pun memberi pilihan kepada dua kumpulan kambing. Mereka akan diberikan seekor serigala, atau dua ekor singa secara bergilir.

Kumpulan kambing A memilih serigala, kerana dianggap kurang ganas berbanding singa. Kumpulan kambing B pula memilih dua ekor singa, dengan seekor daripadanya ditahan di atas gunung, dan boleh ditukar ganti mengikut kesukaan kambing.

Maka serigala mula menyerang kumpulan kambing A. Seekor kambing diperlukan untuk mengisi perutnya setiap tiga hari. Untuk kumpulan kambing B pula, singa itu membaham dan memakan seekor kambing setiap hari.

Kambing B hidup dalam ketakutan tetapi gagal membuat apa-apa. Selepas seminggu, iaitu setelah tujuh ekor kambing dikorbankan, maka kumpulan kambing B meminta agar singa pertama ini ditahan di atas gunung. Pada masa yang sama, singa kedua yang asalnya ditahan itu, terpaksa dibebaskan.

Tanpa diduga, singa kedua yang sudah seminggu kelaparan itu bertindak lebih ganas. Tiga ekor kambing dibahamnya pada hari pertama.

Maka kumpulan kambing B menyesal, kerana dalam tempoh lapan hari, 10 ekor kambing terkorban, sedangkan hanya tiga ekor kambing di kumpulan A yang dimakan.

Dengan segera kambing B meminta agar singa kedua dihantar balik, dan dibebaskan singa pertama. Keadaan tidak berubah. Singa pertama mengekalkan tabiatnya untuk memakan seekor kambing setiap hari.

Maka kumpulan kambing B mula memikirkan sesuatu untuk mengubah nasib dirinya.

Mereka mengekalkan singa pertama, dan dibiarkan singa kedua kelaparan untuk satu tempoh yang panjang, sehingga singa kedua merayu kepada kambing agar dirinya dibebaskan.

Maka kumpulan kambing B berunding dengan singa kedua, menetapkan syarat bahawa singa kedua perlu mengurangkan makanannya kepada seekor setiap dua hari, malah kumpulan kambing B akan membekalkan "kambing yang sakit" untuk dimakannya.

Syarat ini dipatuhi, maka singa pertama ditahan semula dan singa kedua dibebaskan.

Tetapi, adakah kumpulan kambing B berpuas hati dengan singa kedua selepas syarat ini dipatuhi, dan membiarkan singa pertama mati kelaparan di atas gunung?

Semestinya tidak. Ini kerana kumpulan kambing B menyedari bahawa singa kedua sanggup mematuhi syarat ini kerana tahu dirinya akan ditahan semula jikalau mungkir janji.

Seandainya singa pertama mati, maka singa kedua itu tidak mempunyai pesaing lagi, dan akan bermaharajalela. Oleh itu, singa pertama dan kedua dibebaskan dari gunung secara bergilir-gilir, mengikut penilaian kumpulan kambing B.

Kedua-dua ekor singa sedar, nasib diri mereka kini ditentukan kambing. Mulai hari itu, bilangan kambing yang terkorban dalam kumpulan B, berjaya dikurangkan.

Sebaliknya, kambing kumpulan A mula berdepan dengan masalah.

Serigala itu sedar bahawa dirinya satu-satunya serigala, dan tidak boleh dihukum oleh mana-mana pihak. Nafsunya semakin meningkat.

Kambing diburu, digigit hanya untuk menghisap darahnya, dan kemudian dibuang mayatnya begitu sahaja. Tiga ekor kambing kumpulan A dibunuh setiap hari, hanya untuk darahnya.

Tetapi, kumpulan kambing A gagal melakukan apa-apa, kerana mereka gagal menghukum serigala tersebut.

Demikianlah ceritanya yang tersebar luas di ruang internet, memberi gambaran terbaik bagaimana sistem dua parti menguntungkan rakyat.

Kerajaan diandaikan serigala/singa yang bakal mengancam kepentingan rakyat, iaitu kambing.

Kepentingan kambing tidak terjamin dengan seekor serigala yang kurang ganas, tetapi keupayaan kambing untuk menentukan nasib dua ekor singa ganas yang sedang bersaing!

Komen Anda

0 Responses to "Antara serigala dan 2 ekor singa"