Thursday, 14 March 2013

Siswa GM13 nekad rehatkan BN dari takhta kuasa

Pilihan raya akan datang kami generasi muda akan mengundi perubahan. Kami ingin memberi peluang kepada Malaysia untuk ditadbir oleh pemimpin baru. Kami akan mendesak kerajaan yang baru menurunkan harga barangan keperluan, turunkan harga minyak kenderaan, dan berikan pendidikan percuma serta biasiswa pelajaran kepada rakyat."

Demikian antara isi kandungan risalah 'Surat dari Mahasiswa untuk Pengundi Pekan' yang cuba diedarkan kepada masyarakat setempat di Parlimen yang dikuasai Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak pada 12 sehingga 15 Februari lalu.

Namun, usaha kumpulan mahasiswa bergelar Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) tersebut dibalas oleh golongan samseng Umno-BN dengan ugutan dan tengking sergah malah dibelasah dan ditarik tudung.

Pertemuan sekumpulan pelajar terbabit dengan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman baru-baru ini, di rumahnya, di Bukit Ampang, mendedahkan cabaran berdepan dengan rakyat yang sebahagiannya dibelenggu takut dan fanatik Umno-BN sehingga tidak mampu berfikir waras.

Sambil menikmati nasi Arab kambing yang disediakan isteri Ahmad Lutfi sendiri, anak-anak muda itu ghairah berkongsi pengalaman dan harapan. Kisah menarik dari Pekan menjadi topik utama perbincangan.

Menurut Pengerusi GM13, Syis Abdul Kadir, sepanjang tempoh empat hari di Pekan, mereka yang terdiri daripada kira-kira 40 orang aktivis mahasiswa dan mahasiswi berjaya memberikan penerangan dan mendengar suara hati masyarakat setempat di empat Dun di situ iaitu Pulau Manis, Peramu Jaya, Bebar dan Chini.

Safwan Anang yang juga Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) barangkali sudah 'masak' dengan sepak terajang manusia tidak berhati perut 'asuhan' Umno-BN.

Beliau pernah dibelasah teruk oleh polis sehingga terlantar di Hospital Slim River ketika himpunan aman di perkarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, pada malam tahun baharu 2012 lalu.

Bagi Safwan, keputusan GM13 menghantar mahasiswa sebagai calon bertanding di Pekan sebagai suatu isyarat jelas warga universiti sudah bersedia membawa suara mereka seterusnya tuntutan rakyat di Parlimen kelak.

"Selama ini kami (mahasiswa) bersuara melalui rundingan dan menghantar memorandum tetapi sayangnya tidak nampak penyelesaian diambil berdasarkan pandangan kami," tegasnya.

Selain itu, jelasnya, kewujudan anggota Dewan Rakyat dari kalangan mahasiswa sendiri sebenarnya ingin mengisi kelompangan yang barangkali terlepas pandang hatta dalam Manifesto Pakatan Rakyat sekalipun.

"Misalnya, dalam isu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971. Kebebasan mahasiswa selepas Auku mati itu mahu diganti dengan apa?

Laporan Khas ARIF ATAN

Komen Anda

0 Responses to "Siswa GM13 nekad rehatkan BN dari takhta kuasa"