Thursday, 28 March 2013

Simpati Mahasiswa Terhadap Isu Lahad Datu Dikhianati

Dalam fatrah semua rakyat Malaysia bersimpati atas apa yang terjadi di Lahad Datu akhirnya dikhianati oleh segolongan manusia yang mempunyai kepentingan politik.

Dengan berselindung atas nama ‘Taklimat Isu Keselamatan Lahad Datu’, pihak tersebut menyelinap masuk ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi menyebarkan doktrin politik yang tidak matang.

Taklimat yang diadakan petang semalam (27 Mac 2013) sepatutnya menjadi medium informasi tentang Lahad Datu akhirnya bertukar wajah menjadi medium untuk memfitnah beberapa pimpinan Pakatan Rakyat dan juga mahasiswa.

Hal ini sangat mendukacitakan, walaupun mahasiswa bebas berpolitik akan tetapi bukan bermaksud universiti menjadi lubuk bagi menghamburkan fitnah dan tohmahan kepada Pakatan Rakyat atau yang lebih tepat ‘Agenda Pembodohan Mahasiswa.'

USIM adalah sebuah IPTA yang menjadi kebanggaan rakyat Negeri Sembilan khususnya, lebih-lebih lagi menjadi lambang sebuah institusi terulung yang melahirkan para dai dan cendekiawan Islam.

Sekiranya USIM dijadikan tempat untuk membodohkan mahasiswa, pihak tersebut bukan sahaja telah mencemarkan nama baik USIM malah mengkhianati harapan rakyat Negeri Sembilan. Yang lebih teruk, mereka telah mempergunakan nama perwira Lahad Datu untuk kepentingan politik.

Saya mendesak agar pihak yang terbabit memohon maaf secara terbuka dan membersihkan segala fitnah yang dilemparkan. Dan pihak pentadbiran universiti mesti bertanggungjawab terhadap penganjuran taklimat tersebut.


Nor Azman Mohamad
Ketua Penerangan Pas Negeri Sembilan

Komen Anda

0 Responses to "Simpati Mahasiswa Terhadap Isu Lahad Datu Dikhianati"