Monday, 11 March 2013

Pejabat PKR Pula Diserang Samseng UMNO

Hampir 30 samseng Umno membuat kecoh di hadapan ibu pejabat KEADILAN di Petaling Jaya petang tadi, menyebabkan seorang kakitangan cedera dan harta benda rosak.

Kakitangan yang cedera, S Balakumaran berkata, lehernya terkena kayu, manakala dadanya dibaling batu dan telur.

“Pada mulanya, mereka bakar bendera parti. Kemudian, mereka patahkan kayu bendera dan baling sehingga terkena leher saya dan luka. Mereka juga baling telur dan batu ke arah dada saya,” katanya ketika dihubungi.

Beliau memaklumkan kekecohan yang bermula kira-kira jam 5 petang itu berlangsung selama sejam.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Syed Badli Shah Syed Othman menyelar perbuatan samseng berkenaan yang menyebabkan kerosakan beberapa kemudahan.



“Mereka buat kecoh dan baling telur, batu dan kayu. Kira-kira 4 kakitangan ibu pejabat terkena telur. Logo parti di pintu utama pecah dan tiang tempat letak kereta Setiausaha Agung KEADILAN (Datuk Saifuddin Nasution Ismail) patah,” katanya.

Katanya lagi, turut kelihatan bersama samseng itu adalah Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin dan Yang DiPertua GAPS Shah Alam, Wan Indra Putra Ahmad.

Katanya, mereka mendakwa kononnya datang untuk membantah kenyataan Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berhubung pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu.

KEADILAN membuat laporan di Balai Polis Tropicana, Petaling Jaya berhubung insiden itu. -RM/KD







Komen Anda

0 Responses to "Pejabat PKR Pula Diserang Samseng UMNO"