Sunday, 10 March 2013

Kesultanan Sulu sebagai tragedi ummah

Ketika keseluruhan Andalusia yang telah menyaksikan kegemilangan tamadun Islam semasa Khilafah Umayah dan pengganti-penggantinya tumbang di tangan kerajaan Kristian Katholik denghan penubuhan negara Sepanyol dan kemudiannya Portugis, pada waktu yang sama Islam baru sampai ke gugusan pulau-pulau ke timur laut Asia Tenggara.

Ini bermakna pada zaman Islam berundur dari semannjuung Andalusia, agama ini sedang mengukuh di Nusantara. Islam mula bertapak awal di Samudra di pulau Sumatera dan Terengganu di Semenanjung Melayu, tetapi peningkatan yang mendadak apabila Kerajaan Melayu di Melaka menjadi kesultanan.

Banyaklah saudagar Islam dan pendakwah dari Yaman, Basrah, Oman, Parsi, Malabar, Benggala dan Tamil sampai di Melaka. Tetapi faktor besar yang menjadikan Melaka sebagai kuasa Islam penting di Nusantara ialah kunjungan Cheng Ho yang mewakili Maharaja Ming dari China. Ketika itu kerajaan Ming dipengaruh kuat oleh bangsawan beragama Islam, termasuklah dari kaum Hui dan Yunan.

China, India, Parsi dan Arab menyumbang kepada pengislaman di Nusantara. Mereka membantu meluaskan kedaulatan Kesultanan Melayu bukan saja di semenanjung dan Sumatera tetapi juga sampai ke Brunei yang mempunyai kesultranan dengan keuasaan meliputi wilayah Sarawak, Brunei dan Sabah yang ada pada hari ini.

Salah seorang daripada pendakwah yang sampai ke Melaka pada kurun ke-14 ialah Karimul Makhdum yang datang dari Mekah. Beliau bukan saja seorang ulama tetapi juga pengamal tarikat Sufi. Kerja dakwah beliau sampai ke Brunei dan seterusnya di Simunul, Tawi-tawi, Kepulauan Sulu. Makhdum membina masjid pertama di kepulauan yang kini dikenali sebagai Filipina. Kini masjid itu dikenali sebagai Masjid Sheikh Katrimul Makdum. Beliau menyebarkan dakwah di banyak pulau di situ dan penduduk kepulauan Sulu amat menyayangi beliau hinggakan apabila beliau meninggal, terdapat banyak makam yang didirikan bagi memperingati beliau.

Walaupun beliau menjadi syeikh yang berjasa membawa kaum Sulu kepada islam, ettapi orang yang pertama menyebarkan Islam di kepulauan Sulu ialah Tuan Mashaikha yang sampai di Jolo, kepulauan Sulu pada tahun 1280. Beliau berkahwin dengan seorang puteri kepada raja di Maembong dan mewujudkan keluarga Islam di sana.

Pada tahun 1457, seorang ulama Arab kelahiran Johor, ketika itu di bawah pemerintahan Kesultanan Melayu di Melaka, Sayid Abu Bakar Abirin datang ke Banua Buansa Ummah (benua bangsa ummah) di kepulauan Sulu dan berkahwin dengan dayang (puteri) Paramisuli. Beliau menubuhkan Kesultan Sulu Darussalam delaran Sultan Shariful Hashim.

Pada abad ke-16, Pope di Rom membahagikan dunia kepada dua, sebelah timur, ia serahkan kepada Portugis, sementara di sebelah barat diberkan untuk Sepanyol. Maka pada tahun 1511, Portugis melalui Goa di India menakluk Melaka. Kesultanan Melayu terpaksa berpindah ke kota Tinggi, Johor. Sepanyol pula melalui Amerika Selatan sampai ke Filipina dan menakluk Manila. Kesultanan Maanullah tumbang walaupun Raja Sulaiman berjuang bermatian-matian mempertahankan kerajaannnya. Manila menjadi ibu kota Sepanyol di timur dengan penduduknya dipaksa meninggalkan Islam dan memeluk Kristian Katholik.

Sepanyol kemudian menakluklain-lain kesultanan di kepulauan itu. Tetapi sehingga kurun ke-19, Sepanyol gagal menakluk kesultanan-kesultanan di Mindanao yang dipanggilnya sebagai Moro mengambil seperti mana nama orang Islam yang ditawan mereka oleh mereka di Andalusia, iaitu Moor atau Moro. Kini Maghribi di Afrika Utara bernama Morocco.

Terdapat banyak kesultanan dan suku kaum di kalangan Moro ini. Salah satunya ialah Kesultanan Sulu. Wilayah Kesultanan Sulu yang merangkumi hanya kepulauan Sulu menjadi besar selepas mereka membantu Kesultanan Brunei menentang musuh-musuh mereka pada kurun ke-18. Sebagai membalas jasa Kesultanan Sulu itu, Kesultanan Brunei memberikan wilayah sekitar Sabah timur dan Kalimantan timur yang ada pada hari ini. Tetapi kemudian di kawasan Kalimantan timur itu secara praktikalnya dikuasai oleh Kesultanan Bulungan yang kini sudah menjadi sebahagian daripada Indonesia.

Pada Januari 1878, Kesultanan Sulu menyerahkan Sabah timur ini, yang dipanggil Boreno Utara ini kepada Syarikat Boreno Utara British dengan bayaran 5,000 dolar setahun selama-lamanya. Inilah kemudian menjadi masalah di kemudian hari disebabkan oleh perkataan pajak dalam naskhah perjanjian di pihak Sulu, tetapi memberikan (grant and cede) dalam naskhah di pihak British. Inilah tragedi pertama.

Tetapi pada Julai 1878, selepas peperangan bertahun-tahun akhirnya Sepanyol berjaya menakluki ibu kota kepulauan Sulu. Mereka menuntut Kesultanan Sulu menyerahkan kedaulatan kepulauan itu kepadanya jika mahu memiliki ibu kotanya. Kesultanan itu pun menyerahkan kedaulatannya kepada Sepanyol. Ini merupakan tragedi kedua.

Bagaimanapun, tidak ada pula sebutan bahawa Sabah timur diserahkan kepada Sepanyol. Tambahan pula, Sepanyol yang semakin lemah apabila berdepan dengan Britain telah menandatangani Protokol Madrid pada tahun 1885 dengan melepaskan sebarang hak ke atas pulau Borneo. Ini bermakna walaupun Sepanyol memiliki Filipina termasuk kepulauan Sulu, ia tidak mempunyai hak ke atas Borneo Utara.

Selepas daripada itu, Sepanyol pula kalah dengan Amerika Syarikat bukan saja dalam peperangan di Amerika Selatan tetapi juga di Filipina. Maka Filipina diletakkan di bawah Amerika Syarikat tetapi bangsa-bangsa Moro termasuk Sulu bangkit menentang penjajah baru ini. Bertahun-tahun Amerika berusaha menundukkan bangsa Moro. Walaupun akhirnya ia berjaya juga menundukkan mereka, tetapi ketika itu Jepun sudah sampai untuk menakluki Filipina. Semasa di bawah Amerika, Washington pada tahun 1902 dan 1920 mengingatkan Britain secara rasmi bahawa Borneo Utara masih dimiliki oleh Kesultanan Sulu kerana Sepanyol tidak pernah mendapat kedaulatan ke atas wilayah itu. London tidak mempedulikan ingatan itu, malah menjadikan Borneo Utara sebagai tanah jajahannya iaitu koloni mahkota pada 10 Julai 1946. Iaitu mengambil wilayah itu daripada Syarikat Borneo Utara British.

Pada tahun itu juga Filipina mencapai kemerdekaan dengan mengambil alih semua wilayah yang dijajah oleh Amerika Syarikat dan Sepanyol sebelumnya. Pada tahun 1962, semasa pentadbiran Presiden Diosdado Macapagal, Kesultanan Sulu melalui Sultan Muhammad Esmail E Kiram I menyerahkan kedaulatan ke atas Borneo Utara kepada Filipina. Ini adalah tragedi ketiga. Hakiakatnya Kesultanan Sulu sudah tidak ada kedaulatan apa pun masa ini, ia tidak ada kuasa sejak menyerahkan kedaulatan dirinya pada Sepanyol.

Pada tahun 1963, Malaysia ditubuhkan dengan termasuk di dalamnya Borneo Utara yang menjadi Sabah. Negara ini bukan saja mewarisi wilayah British itu tetapi pungutan suara oleh Suruhanjaya Cobbold mendapati keseluruhan rakyat di situ bersetuju yuntuk menyertai Malaysia. Keadaan ini diterima oleh masyarakat antarabangsa secara umumnya.

Ekoran daripada itu, Manila memutuskan hubungan diplomatiknya dengan Kuala Lumpur tetapi kemudian disambung balik. Beberapa tahun kemudian di bawah kepimpinan Nur Misuari, rakyat Moro termasuk di kepualauan Sulu melali Barisan Pembebasan kebangsaan Moro (MNLF) bangkit menuntut kemerdekaan daripada Filipina.

Manila menghantar tentera dan menekan mereka tetapi pada keseluruhannya gagal menundukkan mereka. Akhirnya semasa pentadbiran Presiden Corazon Aquino, MNLF bersetuju untuk menerima autonomi melalui Wilayah Autonomi Moro Mindanao (ARMM) meliputi kepulauan Sulu. Tetapi tindakannya tidak disetujui oleh sebahagian MNLF yang kemdian menubuhkan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Walaupun pada mulanya MILF juga menuntut kemerdekaan dan perjuangan diteruskan, mereka akhirnya menerima autonomi tahun lalu dalam gagasan Bangsamoro yang juga meliputi kepulauan Sulu menggantikan ARMM. Mereka bertindak menurut undang-undang dan tidak melibatkan Sabah. Tindakan mereka tidak dipersetujui oleh MNLF dan serpihannya Abu Sayyaf. Inilah tragedi keempat.

Tetapi tragedi kelima dan terbaru ialah apabila sekumpulan dari kalangan kerabat Kesultanan Sulu juga menolak gagasan Bangsamoro itu. Mereka menimbulkan kembali tuntutan ke atas Sabah dan menghantar gerombolan bersenjata ke Lahad Datu baru-baru ini. Apabila ia membawa kepada pembunuhan anggota polis, maka tentunya mereka menghadapi tentera Malaysia kerana menceroboh kedaulatan negara ini.

Kesultanan Sulu hanya menjadi suatu institusi bersejarah dan budaya. Ia tidak ada sebarang kedaulatan yang telah diserahkan kepada Sepanyol ratusan tahun dahulu. Ia merupakan tragedi umat Islam. Tindakan menceroboh masuk Malaysia tidak akan membawa sebarang kebaikan, malah menimbuljkan kesengsaraan. Tiga kali kedaulatan mereka diserahkan kepada pihak bukan Islam: Sepanyol, Britain dan Filipina> Biarlah Sabah berada dalam Malaysia, sebuah negara yang agama rasminya Islam.

Kejatuhan Kesultanan Sulu adalah kerana mereka tidak ada kekuatan mempertahankan diri ketika berdepan dengan Sepanyol, Britain, Amerika Syarikat dan Filipina. Usaha MILF yang berjuang atas nama Islam dan berjaya menubuhkan wilayah autonomi Bangsamoro dalam kedaulatan Filipina adalah memadai untuk teruskan kehidupan dan kemajuan umat Islam negara itu.

Oleh Burong Punggok (Detikdaily)

Komen Anda

0 Responses to "Kesultanan Sulu sebagai tragedi ummah"