Friday, 22 March 2013

Darurat tak halang PRU13

Konsep dan implikasi sebenar darurat sebagaimana yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid dan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuasn sebenarnya bukan penghalang kepada pilihan raya.

Sebaliknya, tegas pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari kepada Harakah, penyalahgunaan dan manipulasi peruntukan berkenaan yang menjadi punca salah faham seolah-olah darurat bermaksud menggantung atau menghalang pilihan raya umum.

Beliau diminta mengulas spekulasi dan kebimbangan bahawa darurat mungkin diisytiharkan di Sabah bagi menangguhkan pilihan raya umum di negeri itu.

Aziz berkata, hakikat perisytiharan darurat yang memberi kuasa mutlak kepada pihak berkuasa Persekutuan itu sebenarnya bertujuan memudahkan mereka menangani masalah yang kronik dengan berkesan dan pantas.

Katanya, apa yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan di Sarawak pada 1966 dan Kelantan pada 1977 adalah penyalahgunaan kuasa darurat.

"Dalam kedua-dua insiden berkenaan Kerajaan Persekutuan sengaja membiarkan kekacauan meletus dan bertambah teruk untuk memberi alasan kepada perisytiharan darurat yang kemudian digunakan untuk mengambilalih pentadbiran negeri-negeri berkenaan.

"Selepas itu pilihan raya kilat diadakan dan mereka menang dengan mudah," jelasnya.

Aziz menambah, pilihan raya umum pernah diadakan sewaktu darurat; yakni pada 1955 ketika negara menghadapi ancaman komunis dan 1964 ketika Malaysia diancam oleh pencerobohan Sukarno yang melancarkan konfrontasi dan ini tidak disedari oleh ramai orang.
"Sebab itu apabila sebut saja darurat maka orang akan terfikir pilihan raya tak boleh diadakan. Ini persepsi yang tidak tepat," tegasnya.

Beliau berkata, sepatutnya dengan adanya darurat menjadikan ia lebih mudah untuk mengakan pilihan raya kerana segala kuasa - kecuali bidang kuasa Raja dalam soal Islam, bahasa dan adat istiadat serta hal-hal mengenai anak negeri Sabah dan Sarawak - diletakkan di tangan Persekutuan.

"Tetapi kalau mereka, termasuk SPR, memilih untuk menangguh pilihan raya maka itu adalah salah guna kuasa. Darurat itu sendiri tidak menghalang pilihan raya. Bahkan sepatutnya kuasa itu digunakan untuk memudahcarakan pilihan raya," tegas beliau lagi.

Mantan profesor undang-undang UIAM itu berkata, keadaan keselamatan di Sabah, sebagaimana yang diakui oleh Kerajaan Persekutuan sendiri, adalah terkawal.

"Dengan itu tidak ada sebab mengapa darurat perlu diisytiharkan di negeri itu," ujarnya.

Aziz berkata, jika ada pun masalah ia hanya terbatas kepada Lahad Datu dan Semporna, bukan seluruh Sabah.

"Jadi apa perlunya darurat diisytihar diseluruh Sabah? Kerajaan tidak harus cuba mengambil kesempatan untuk meraih kelebihan yang tidak wajar.

"Apa lagi setelah ia gagal menyelesaikan masalah keselamatan itu dengan cepat dan tanpa korban nyawa," tambahnya.

Aziz berpendapat sekiranya perlu Yang di-Pertuan Agong juga perlu memainkan peranan proaktif.

Katanya, Baginda boleh menolak nasihat untuk mengisytiharkan darurat oleh kerajaan kerana perisytiharan itu bertentangan dengan semangat asal Perlembagaan dan demokrasi.

Ia juga tegasnya, mempunyai kesan yang memberi kelebihan tidak wajar kepada kerajaan yang ada, dan memperkenan darurat dalam senario sekarang juga akan merosakkan imej sistem beraja kerana ia akan dilihat sebagai pak turut atau boneka kerajaan.

Oleh TARMIZI MOHD JAM (DD)

Komen Anda

0 Responses to "Darurat tak halang PRU13"