Friday, 8 March 2013

Bingkisan Buat Semua Menjelang PRU 13

Negara akan menghadapi PRU13 dalam tempoh terdekat ini. Semua parti yang terlibat sudah menyediakan persiapan untuk mendapatkan sokongan daripada para pengundi. Segala daya dan upaya yang ada akan digemblengkan demi memperolehi kepercayaan rakyat. Penggarapan seluruh peluang dan ruang akan digunakan oleh semua parti. Maka, tidak terkecuali penggunaan para karyawan dan seniman dalam industri hiburan sebagai makenisme memperolehi pengaruh politik.

Dalam masa yang sama, seniman rakyat yang sebenar adalah seniman yang membawa suara rakyat. Ia tiada kaitan dengan persoalan mewakili rakyat dari kelompok majoriti atau minoriti. Seniman rakyat bukan ‘askar upahan’ yang bertindak atas bayaran yang diterima. Ini tidak bermakna, seniman tidak perlukan ganjaran wang ataupun kedudukan.

Ada garis pemisah yang membezakan antara berkarya kerana upah dengan berkarya kerana bakat dan kebolehannya. Berkarya kerana upah lazimnya akan mengesampingkan soal adab dan etika. Sebaliknya, seniman yang memiliki prinsip hidup sebenar akan berkarya kerana kebolehan dan bakat yang ada padanya. Ia akan menolak sesuatu tawaran yang bertentangan dengan prinsip hidupnya, adab dan etika sosial. Di situlah letaknya harga dan nilai seniman rakyat.

Insiden slot dari lawak yang melibatkan Salih Yaakub dan Nabil baru-baru ini adalah manifestasi seni jenaka yang lemah paksinya. Jelas jenaka yang meringankan akal pemikiran insan akan meletakkan jenaka itu pada kelas murahan. Ia bukan sahaja terpalit pada batang tubuh pelawak itu sendiri tetapi yang lebih ironinya cuba merendah-rendahkan akal fikiran masyarakat keseluruhannya. Ini bukanlah kes baru, bahkan ada beberapa siri yang memiliki kecenderungan sama sebelum ini.

Fitnah dan maksiat tidak boleh dijadikan resepi seni meskipun dalam aspek lawak jenaka. Nabi Muhammad s.a.w juga suka pada jenaka. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w. pernah berjenaka sehingga seorang perempuan tua itu berasa hati dan menangis. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud bahawa orang tua tidak akan masuk syurga. Perempuan tua itu sedih mendengarkan hal itu. Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. menjelaskan maksud baginda, di syurga semua orang tua akan menjadi muda bila berada di dalam syurga. Selepas mendengar penjelasan itu, maka perempuan tua itu pun tersenyum gembira.

Amat mudah menghidu kesan daripada jenaka yang merendah-rendahkan akal-budi masyarakat. Bantahan berupa protes, boikot dan celaan adalah secubit symptom kekecewaan massa. Ada waktunya, kenyataan maaf, rasa kesal tidak semudah diterima oleh masyarakat. Tidak seperti semudahnya mengundurkan perahu yang terlajak. Langkah Salih Yaakub memohon maaf atas keterlanjurannya itu adalah suatu yang sangat wajar meski tidak perlu sampai hendak bersara. Sekurang-kurangnya ada nilai diri yang ingin ditunjukkan olehnya.

Perlu dibezakan pendekatan antara seorang ahli politik, ahli akademik, seniman ataupun apa jua kerjaya dalam membina masyarakat. Kita semua mempunyai tanggungjawab dan peranan dalam membina negara dan mencorakkan budaya masyarakat. Masing-masing dengan kaedah dan pendekatan yang berbeza.

Apabila seorang seniman ataupun artis sudah menjadi ‘public figure’, kenyataannya perlu neutral jika dia ingin kekal dihargai dalam industri tersebut. Pendirian politik mereka adalah hak kebebasan peribadi yang mesti dihormati. Melainkan jika seseorang itu terjun dalam bidang politik. Bahkan dalam PAS sendiri sudah ramai artis, seniman dan karyawan aktif berpolitik.

Mereka turun padang berkempen, berceramah dan berpuisi. Mereka yang berada dalam PAS atau BN perlu menghadapi risiko berada dalam medan politik yang serba memungkinkan. Jika kail sejengkal, jangan laut hendak diduga. Jangan separuh-paruh. Untung tidak, rugi yang banyak ditanggung.

Isu ini juga perlu dikongsi sama dengan pihak pengurusan media yang menyediakan medan kepada seniman dan para karyawan membina nama dan karya. Media massa meskipun secara legalnya dimiliki oleh syarikat dan pemegang syer tetapi dari segi pemasarannya, ia adalah milik massa. Sebarang tingkah aksi seniman, artis ataupun karyawan yang tersasar daripada aspirasi nasional (dalam tafsiran yang luas – bukan acuan parti politik) pastinya terpalit pada pengurus media.

Di bawah Manifesto Pakatan Harapan Rakyat yang dibentangkan baru-baru ini, PR memastikan semua media milik kerajaan (RTM) dan juga stesyen media swasta melaksanakan kebebasan media yang berintegriti demi memajukan industri penyiaran. PR juga menghormati kematangan para pengamal media dalam mengurus industri media secara bebas dan bertanggungjawab tanpa campurtangan kerajaan. Melalui manifesto ini, PR lebih bersifat terbuka memberi peluang seniman tanpa mengira pendirian politik, gender, kaum dan juga segmen-segmen dalam masyarakat untuk berkarya dalam media.

Untuk akhirnya, Lujnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat menawarkan satu kesempatan pada seluruh seniman bersama-sama melakukan perubahan politik negara dengan menghormati budi dan akal rakyat. Seniman mendidik masyarakat dicelah-celah lagu, melodi, bait puisi, lakaran, lakonan dan apa jua aksi seni yang ada. Didiklah masyarakat, wahai seniman.

Dr. Muhaimin Sulam
Pengerusi Lujnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat.

Komen Anda

0 Responses to "Bingkisan Buat Semua Menjelang PRU 13"