Tuesday, 19 February 2013

Ridhuan Tee hina masyarakat India, kata Pemuda MIC

Artikel Dr Ridhuan Tee Abdullah bertajuk "Kesabaran Umat Islam ada had" di dalam ruangan akhbar Sinar Harian disifatkan Pemuda MIC sebagai "menghina komuniti masyarakat India."

Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan, C Sivarraajh berkata tulisan pensyarah Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) itu juga dibuat tanpa memahami situasi sebenar filem Tamil, Vishwaroopam yang sebelum disekat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Saya merasakan beliau menghina komuniti India.

"Tanpa memahami cerita sebenar atau menafikan kisah sebenar, beliau telah menulis artikel dengan hanya mendengar kata-kata seorang kenalan.

"Filem itu tiada kena mengena dengan India di Malaysia, ia hanya sebahagian hiburan dalam kehidupan seharian kita," kata Sivarraajh dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau lagi kenyataan Ridhuan dalam artikel di muka surat 40, akhbar berkenaan, bertarikh 18 Februari lalu, menyatakan masyarakat India di Malaysia juga tidak sensitif terhadap perasaan Muslim di negara ini.

"Ridhuan Tee terkenal dengan kenyataan sarkastik dan melukakan hati pembaca berbilang bangsa Sinar Harian.

"Beliau menyalahkan komuniti India kerana tidak sensitif, menghina Thaipusam, termasuk kuil dan patung di Batu Caves," katanya.

"Ridhuan Tee tidak sensitif dan seorang pengecut yang berselindung disebalik artikelnya dalam Sinar Harian dan bercakap seolah-olah beliau mengetahui semuanya," tegas Sivarraajh.

Antara kenyataan lain Ridhuan yang dakwanya menyentuh perkara sensitif masyarakat India adalah patung masyarakat India yang kelihatan semakin banyak selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Ridhuan juga jelas Sivarajah dalam artikelnya turut mengkritik parti komponen BN yang mana dikatakan jahil memahami budaya masyarakat Islam kerana mahu filem kontroversi Vishwaroopam yang KDN diteruskan.

"Apabila filem itu di bawa masuk Malaysia, ia telah melalui proses biasa oleh FINAS dan dimainkan di panggung wayang di Malaysia.

"Ia kemudiannya menimbulkan protes oleh NGO India Muslim dan KDN kemudiannya melarang filem itu disiarkan ... MIC sudah tentu mahukan ianya ditayang semula selepas FINAS menapis kandungan tertentu filem berkenaan, itu kisahnya, kata Sivarraajh .

Sehubungan itu, Pemuda MIC menggesa agar penulisan Ridhuan untuk masa-masa akan datang di boikot.

"Biar kita beri pengajaran untuk mereka yang memainkan sentimen sensitif dan keagamaan semata-mata mengejar populariti," tegasnya.

Beliau juga menuntut Ridhuan dan Sinar Harian memohon maaf kerana menyiarkan artikel tersebut dalam tempoh tiga hari.

KDN juga jelasnya perlu mengambil tindakan terhadap mereka seperti mana mereka menyekat filem Tamil tersebut. -TMI

Komen Anda

0 Responses to "Ridhuan Tee hina masyarakat India, kata Pemuda MIC"