Thursday, 14 February 2013

Peluang Pambangkang Semakin Tipis?

Tiada tempat bagi kumpulan pembangkang untuk cuba-cuba menawan negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Ini katanya, rakyat negeri ini bukan sahaja sudah bijak dan matang berpolitik, tetapi mereka mampu menilai yang mana baik dan yang mana buruk.

"Rakyat Sabah tidak akan sampai hati terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah membawa pembangunan begitu banyak kepada negeri ini malahan saya yakin sokongan rakyat terus bertambah dari semasa ke semasa," tegasnya semasa berucap melancarkan Markas Pemuda BN P.184 Libaran di Bandar Labuk Jaya, Batu 7, baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Bayan Lepas, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol; Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Gum-Gum, Datuk Zakaria Mohd Edris; Adun Sekong, Datuk Samsudin Yahya dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Sabah, Datuk Hajah Armani Mahiruddin serta Ketua Pemuda Umno Libaran, Suhaimi Nasir.

Sehubungan dengan itu, Musa yang juga Pengerusi BN Negeri mengarahkan jentera Pemuda BN khasnya di kawasan Libaran siap siaga dengan memastikan jentera parti sentiasa kukuh bagi menghadapi PRU-13.

Menurutnya, ia penting bagi memastikan jentera sentiasa berada dalam keadaan aktif sekali gus tiada masalah apabila berdepan dengan mana-mana parti lawan nanti.

Begitu pun, dia berbangga dengan komitmen dan hasil kerja ditunjukkan Pemuda BN Libaran yang sentiasa siap siaga pada setiap masa demi kekuatan parti di semua peringkat akar umbi.

"Inilah pemuda yang menjadi benteng pertahanan apabila kita berdepan dengan pihak lawan menjelang pilihan raya. Oleh itu, saya minta pemuda-pemuda BN kerap turun padang bukan saja memperkemas jentera parti tetapi juga untuk menangkis sebarang dakyah mahu pun tohmahan daripada pembangkang.

"Pembangkang ini tiada kerja lain asyik bercakap kosong sahaja. Mereka menjanjikan bermacam-macam. Saya berharap, rakyat tidak akan terpedaya. Sebab itu, Pemuda BN perlu juga sentiasa memantau," kata Ketua Menteri.

Justeru, katanya, kerajaan BN akan memastikan golongan belia tidak akan terpinggir dari arus pembangunan perdana.

Tambahnya, pelbagai usaha sedang dan telah dilaksanakan demi memastikan belia di negara ini terutamanya Sabah mendapat pembelaan sepenuhnya.

Musa menegaskan, gerak gempur Pemuda BN mampu mendekati golongan berkenaan agar terus terbela daripada terpedaya dengan dakyah-dakyah mengelirukan dari pihak tertentu.

Oleh: SHAIMON S JUMADI (sabahkini)

Komen Anda

0 Responses to "Peluang Pambangkang Semakin Tipis?"