Sunday, 17 February 2013

Dua diculik Abu Sayyaf?

Dua rakyat tempatan yang diculik sekumpulan lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di Lahad Datu, Sabah pada dua minggu lalu, dipercayai disembunyikan di lokasi sama yang pernah menempatkan Mohd. Nazarudin Saidin, 39, peniaga cicak tokek yang diculik kumpulan Abu Sayyaf, tahun lalu.

Sumber memberitahu, seorang pengurus ladang bersama penolongnya kini berada di Pulau Jolo, selatan Filipina setelah diserahkan kepada kumpulan Abu Sayyaf oleh kumpulan penculik berkenaan.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang merupakan sepupu itu menjadi tahanan kumpulan sama yang pernah menculik Mohd. Nazarrudin.

"Selepas diculik, kedua-dua mangsa diserahkan kepada kumpulan Abu Sayyaf yang bertanggungjawab menculik Mohd. Nazarrudin di Pulau Jolo," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada Jun lalu, Mohd. Nazarudin dibebaskan setelah lebih setahun diculik kumpulan Abu Sayyaf semasa dia berada di selatan Filipina untuk menguruskan proses pembelian cicak tokek di negara itu.

Selain Mohd. Nazarudin, ada seorang lagi lelaki rakyat Malaysia dikenali sebagai Pang Chong Pong diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf.

Chong Pong yang diculik di Pondohan Lok Angki, Sitangkai di Kepulauan Tawi-Tawi di selatan Filipina pada Oktober tahun lalu sehingga kini masih belum dibebaskan.

Sumber berkata, setakat ini masih belum ada perbincangan mengenai wang tebusan bagi membebaskan mangsa.

"Seperti kes sebelum ini, lagi lama mangsa ditahan kemungkinan untuk wang tebusan meningkat adalah tinggi.

"Tetapi setakat ini, masih belum ada rundingan mengenai wang tebusan dilakukan antara penculik dengan keluarga mangsa," katanya.

Difahamkan juga, kumpulan penjenayah yang bertanggungjawab menculik dua mangsa itu telah lari ke Filipina.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika ditemui pada Majlis Kempen Kesedaran Jenayah di pusat beli-belah Summit USJ Subang Jaya dekat sini hari ini, enggan mengulas tentang kes penculikan itu tetapi memaklumkan pihak polis sedang berusaha menyelamat mangsa.

-utusan.com.my

Komen Anda

1 Responses to "Dua diculik Abu Sayyaf?"
Anonymous said...
19 February 2013 at 15:29

Semakin tidak percaya bagaimana MALAYSIA begitu senang di CEROBOH? Apakah AGENDA di sebalik PENCEROBOHAN INI? Seakan ada main SILAP MATA, Ini zaman Edan, ini bukan zaman 13 Mei, 1969, ini semua zaman maklumat di hujung jari, susah nak di percayai bagaimana Kerajaan Malaysia hari ini begitu LEMAH dan TERUk sehinggakan PATI serta TERLALU KERAP PENCEROBOHAN peerairan MALAYSIA kerap berulang ulang... KAPAL SELAM SUDAH ADA DI SEPANGGAR, KENAPA TAK GUNA?? Angkatan TENTERA pun ada, POLIS tentera pun ada, macam mana boleh BOLOS nih?? Semakin tak faham mengapa MALAYSIA kerap di ceroboh...!! Teruk betul sistem POLITIK MALAYSIA hari ini...