Wednesday, 13 February 2013

Analisis : PR Bakal Menang 40 Dari 59 Kerusi

Sejarah bakal berulang, analisis yang diperolehi daripada pelbagai sumber mengatakan Pakatan Rakyat (PR) mampu memenangi sekurang-kurangnya 40 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri Perak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti. kata Naib Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar.

Katanya, rakyat negeri Perak tidak pernah lupa bagaimana mandat yang diberi kepada PR secara demokratik akhirnya dirampas Barisan Nasional (BN) dengan cara yang paling tidak bertamadun.

Beliau berkata, tertubuhnya kerajaan haram Perak yang disusuli krisis perlembagaan membuka mata ramai pihak betapa tamak dan jahatnya tindakan BN dan sejarah hitam itu akan terus berparut dalam sanubari setiap rakyat yang cintakan keamanan dan menjunjung tinggi prinsip Perlembagaan.

“Tambah menyedihkan, niat BN merampas negeri itu dilihat semata-mata untuk membolot kekayaan negeri itu.

“Sebagai bukti, pendedahan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak yang lalu menyebut lebih 68,000 ekar tanah di seluruh Perak diberi kepada kroni UMNO-BN dengan harga premium tanah yang terlalu murah,” katanya dalam satu kenyataan.

Sivakumar juga berkata, terdapat banyak usaha yang diambil kerajaan haram BN Perak untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu ini tetapi menemui kegagalan.

“Rakyat Perak sedar bahawa kerajaan negeri hari ini tidak sah atau ‘haram’ di sisi undang-undang dan mereka tidak akan membenarkan keadaan itu berterusan.

“Negeri Perak memerlukan satu kerajaan sah melalui mandat rakyat. BN telah melakukan satu kesilapan besar,” ujar beliau.

Sambil menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat perhitungan meleset apabila menganggap ‘rakyat Malaysia mudah lupa’, beliau turut berkata, ia diperkuat lagi dengan bukti bahawa BN tidak berjaya membawa apa-apa perubahan nyata di Perak.

“Banyak slogan retorik seperti ‘Perak Aman Jaya’, ‘Tiada Yang Tertinggal, Tiada Yang Terpinggir’ sekadar omong-omong kosong saja.

“Rakyat dapat menilai, membuat pertimbangan rasional dan membandingkan pemerintahan PR selama 11 bulan dengan BN selepas empat rampasan kuasa.

Rakyat tidak boleh lagi ditipu dengan janji manis yang tidak dilaksanakan,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu.

Menurutnya, masa yang ditunggu-tunggu rakyat Perak semakin hampir kerana Parlimen dan DUN Perak akan dibubarkan tidak lama lagi.

“PR Perak akan terus berusaha keras untuk menambah bilangan kerusi pada PRU-13.

Pemimpin PR negeri ini yakin bahawa rakyat Perak akan memberi mandat yang lebih besar pada PRU-13 nanti,” tambahnya. -Roketkini

Komen Anda

0 Responses to "Analisis : PR Bakal Menang 40 Dari 59 Kerusi"