Tuesday, 8 January 2013

Terukir Di Bintang Rangkul Gelaran Juara AJL 27

Terukir Di Bintang Rangkul Gelaran Juara AJL 27

Kontroversi di awal kemuncak Anugerah Juara Lagu ke 27 (AJL 27) nyata bukanlah satu petanda buruk buat lagu Terukir Di Bintang. Sebaliknya ia merupakan petanda awal lagu ciptaan sepenuhnya Yunalis Zarai atau Yuna ini bakal menyinar di malam final AJL 27 sebentar tadi.

Buktinya, meskipun dipersembahkan oleh penyanyi gantian iaitu Aizat, Terukir Di Bintang dipilih oleh juri-juri AJL27 sebagai lagu terbaik dan muncul juara untuk edisi ke 27 pertandingan tahunan ini.

Dengan imej bermisai nipis sambil memegang secawan kopi, persembahan bersahaja Aizat sememangnya akan dikenang dalam sejarah AJL ketika mendendangkan lagu berirama indah tersebut.

Dengan kemenangan ini, Terukir Di Bintang berjaya membawa pulang wang tunai RM35,000 beserta trofi. Ini juga adalah kemenangan kedua Aizat di pentas AJL setelah kali pertama memenanginya di AJL 24 dengan lagu Pergi.

Satu lagi nama yang semakin sinonim dengan AJL, Hafiz Suip terus mendominasi kategori vokal apabila buat kali ketiga berturut-turut memenangi kategori Vokal Terbaik dan kali ini menerusi lagu Ku Akui dan dengan kemenangan ini, Hafiz membawa pulang RM10,000.

Ku Akui yang merupakan ciptaan sepenuhnya Ajai juga merangkul tempat ketiga AJL 27 dan berhak membawa pulang wang tunai RM12,000 beserta trofi.

Azlan & The Typewritter menerusi lagu Idola dipilih menjadi naib juara AJL 27. Lagu tersebut adalah ciptaan Audi Mok dan liriknya oleh Dark. Sebagai naib juara, Idola memenangi RM15,000 beserta trofi.

Sementara itu, persembahan Black dan RJ dalam lagu Teman Pengganti telah dipilih penonton menerusi SMS untuk memenangi Persembahan Terbaik di malam AJL 27. Black dan RJ membawa pulang RM10,000 untuk kemenangan itu.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Media Prima, Ahmad Izham.

AJL 27 telah bersiaran secara langsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil dan dihoskan oleh pasangan pengacara Faizal Ismail dan Cheryl Samad. Tema untuk majlis itu tahun ini ialah Ekspresi Seni. Turut diundang untuk membuat persembahan pada malam itu ialah Misha Omar, Ziana Zain, Faizal Tahir, Rahmat Mega, Aris Ariwatan,Joey dan Ramli Sarip.

-Murai.com.my

Komen Anda

0 Responses to "Terukir Di Bintang Rangkul Gelaran Juara AJL 27"