Wednesday, 9 January 2013

Tan Sri Khalid Bidas Penipuan SYABAS

Kerajaan Negeri kesal dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang mengaitkan gangguan bekalan air dengan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2), sedangkan ia tiada kaitan langsung.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, bekalan air sebenarnya mencukupi tetapi kegagalan Syabas menyelenggarakan Rumah Pam Wangsa Maju dan Hulu Pudu Baru mengakibatkan pengguna di kawasan berhampiran terjejas.

Menurutnya, berdasarkan laporan Jawatan Kuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor yang melawat Rumah Pam Wangsa Maju, 2 Januari lalu mendapati, empat daripada lima pam telah rosak, manakala satu pam sedang diselenggarakan dan tidak beroperasi.

"Jawatankuasa ini mendapati pam nombor dua telah rosak sejak setahun lalu dan tidak diperbaiki kerana tiada alat ganti manakala pam nombor empat dan lima rosak pada malam 28 Disember lalu ketika beroperasi secara serentak.

"Dakwaan Syabas bahawa kesemua pam beroperasi melebihi had menyumbang kepada kerosakan pam adalah tidak benar kerana sepanjang 2012, hanya 18 hari sahaja pam-pam ini beroperasi melebihi 200 juta liter sehari. Kadar aliran purata pam-pam tersebut adalah 182.204 juta liter sehari (JLH)," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, Syabas sepatutnya memastikan kesemua lima ini berada dalam keadaan baik dan penyelenggaraan secara berkala perlu sebagai prosedur wajib yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP).

Jelasnya, Syabas juga gagal menurunkan kadar peratusan Air Tidak Berhasil (NRW) di bawah paras 30 peratus seperti yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

"Jika loji baru dibina, kekurangan bekalan air bersih kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih tidak selesai kerana kelemahan Syabas.

"Kita mendesak Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memandang serius masalah ditanggung rakyat dan mempercepatkan proses penstrukturan semula dengan membenarkan Kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan pembekalan air seperti yang dihasratkan dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 (WSIA)," katanya.

Semalam, Abdul Khalid bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi dan pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri telah melawat Rumah Pam di Wangsa Maju bagi meninjau kerja-kerja pembaikan. -SH

Komen Anda

0 Responses to "Tan Sri Khalid Bidas Penipuan SYABAS"