Wednesday, 23 January 2013

Projek IC Khianati Rakyat & Negara

Tidak ada perkataan yang selayaknya diberi selain “pengkhianat negara” untuk mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad kerana memberi taraf kewarganegaraan kepada ratusan ribu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah semata-mata untuk mempertahankan survival Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Ia dibuktikan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap projek “IC Mahathir” yang didedahkan baru-baru ini.

Akibat tindakan itu, Sabah kini melalui beberapa fasa getir membabitkan pertembungan sosio ekonomi dan politik rakyat tempatan dan pendatang yang diberi kerakyatan secara mudah.

Sambil menyatakan rasa kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan UMNO-BN itu, Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phin berkata, parti pemerintah itu harus bertanggungjawab terhadap ‘dosa’ silam mereka ke atas rakyat Sabah.

“Saya boleh katakan bahawa ini merupakan pengkhianatan tertinggi buat Malaysia khasnya rakyat Sabah.

“Bayangkan selama ini yang menentukan hala tuju, pentadbiran negeri Sabah ditentukan oleh ‘pengundi hantu’ yang dihalalkan. BN benar-benar kotor!” tegas beliau ketika ditemui semalam.

Tambahnya, akibat daripada “Projek IC Mahathir”, rakyat Sabah terutamanya di kalangan Bumiputera negeri itu ketinggalan disebabkan saingan tidak sihat yang berlaku.

“Mereka tertindas akibat ketamakan kuasa BN,” katanya yang juga ADUN Sri Tanjung.

Menurut Setiausaha DAP Sabah, Dr Edwin Bosi pula, isu “Projek IC” ini telah lama terbongkar sejak 1970-an di mana Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang ketika itu pernah memberi amaran kepada rakyat Sabah mengenai isu yang kini heboh diperkatakan.

“Kini kita dilaporkan dengan sejumlah 1.8 juta PATI yang mendapat kerakyatan mudah. Semua ini terbukti dengan RCI, kita boleh lihat ramai di kalangan warganegara Filipina, Indonesia, Pakistan dan India mendapat kerakyatan,” ujar beliau.

Dalam kenyataan yang berbeza, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, pendedahan yang dibuat RCI baru-baru ini memang mengejutkan.

“Tetapi isunya kini bukan saja di Sabah. Sejak Pilihan Raya Umum 2008, peningkatan daftar pengundi di Selangor secara mendadak sebanyak 22 peratus berbanding purata 16.3 peratus di seluruh negara.

“Sebanyak 31,294 pengundi dilaporkan telah dipindahkan dari kawasan Parlimen dan DUN asal mereka tanpa mereka sedari,”

Tambah Santiago, terdapat 2,000 nama di Parlimen Klang saja telah berpindah kawasan manakala 3,000 lagi nama pengundi hilang dalam daftar pemilih. – Roketkini

Komen Anda

2 Responses to "Projek IC Khianati Rakyat & Negara"
Anonymous said...
23 January 2013 at 20:08

orang yang ada IC, implikasinya ialah ia boleh beli tanah dan rumah dengan senang, dapat facilities yang banyak, hospital, persekolahan, mohon kerja kerajaan (silap- silap boleh pegang jawatan tinggi lagi)..


Anonymous said...
23 January 2013 at 21:47

kalau betul untuk kepentingan parti maka benarlah pengkhianat bangsa dan negara zaman moden