Thursday, 17 January 2013

Pelarian dapat KP biru tanpa perlu memohon

Seorang pelarian Filipina memberitahu inkuiri Suruhanjaya Di Raja (RCI) berkenaan dengan pendatang haram bahawa beliau menerima kad pengenalan biru tanpa membuat permohonan.

Ismail Balaka berkata beliau terbang ke Sabah 1975 untuk melarikan diri dari perang saudara di Filipina.

“Apakah anda mendapat kad pengenalan tanpa perlu ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)?” tanya Jamil Aripin pegawai yang menggendalikan RCI hari ini.

“Ini betul,” kata Ismail.

Ismail menambah beliau adalah pengundi berdaftar dan telah mengundi lima kali di Sabah.

Ismail yang juga pembuat kapal memberitahu beliau pada ketika ini tinggal di penempatan di Kinarut di Sabah dengan isteri keduanya warga Filipina dan empat orang anaknya yang turut mempunyai kad pengenalan biru.

Beliau menambah isteri pertamanya yang juga warga Filipina menjaga lima orang anaknya.

Ismail menyatakan beliau dan beberapa yang lain dipanggil pada satu hari untuk berkumpul di dewan kampung tersebut akan tetapi tidak memberitahu bila secara spesifik.

Menurut Ismail sesetengah pihak yang beliau tidak kenali memberitahu beliau dan penduduk kampung lain untuk menandatangani borang, meninggalkan cap jari dan diambil gambar.

“Saya diberitahu akan diberi kad pengenalan Malaysia. Selepas tiga atau lima bulan, saya terima kad pengenalan biru,” kata Ismail menurut kenyataan kepada polis yang dibacakan oleh Jamil.

Ismail yang memakai baju putih menambah beliau tidak membayar untuk kad pengenalan tersebut.

Beliau juga berkata beliau tidak perlu memberi apa-apa dokumen untuk mendapatkan kad pengenalan biru seperti kad pengenalan merah atau hijau untuk penduduk tetap atau penduduk sementara.

Beliau menafikan diberikan syarat atau diminta mengundi sebelum diberikan kad pengenalan biru.Bekas penolong pendaftar JPN Sabah Kee Dzulkifly Kee Abd Jalil memberi keterangan semalam bahawa 100,000 kad pengenalan biru diberi kepada pendatang Filipina, Indonesia dan Pakistan di Sabah pada tahun 1993.

Tun Dr Mahathir, perdana menteri paling lama berkhidmat dari 1981-2003, telah dituduh menerajui “Projek IC”, di mana kewarganegaraan didakwa diberikan kepada pendatang sebagai ganti kepada undi mereka.

Akan tetapi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh, yang mentadbir negeri dari 1976 hingga 1985, menafikan kewujudan “Projek IC” tersebut.

Ismail memberitahu hari ini beliau tidak berniat untuk pulang ke Filipina.

Seorang lagi pelarian Filipina bernama Hatta Ghani memberi keterangan hari ini beliau menerima kad pengenalan biru pada tahun 1990 selepas membuat permohonan pada tahun 1988 akan tetapi tidak pernah mempunyai kad pengenalan merah.

Hatta seorang pekerja binaan turut memberitahu beliau mendaftar sebagai pengundi sebaik sahaja menerima kad pengenalan biru.

“Saya mengundi sekali di Keningau dan dua kali di Kawang,” kata Hatta yang memakai kopiah putih.

Inkuiri yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong akan bersambung tengah hari esok. -TMI

Komen Anda

0 Responses to "Pelarian dapat KP biru tanpa perlu memohon"