Tuesday, 22 January 2013

Malaysia catat aliran keluar kewangan haram tertinggi

Malaysia ialah antara negara yang mencatatkan aliran keluar kewangan haram tertinggi dari tempoh 2001 hingga 2010, kata Integriti Kewangan Global (GFI).

GFI yang berpangkalan di Washington DC dalam laporannya berkata, dari tahun 2001 hingga 2010, sejumlah besar US$285.24 bilion (RM860 bilion) telah mengalir keluar secara haram dari Malaysia, demikian menurut edisi terbaru mingguan “Focus Malaysia”.

“Hampir 80 peratus daripadanya atau US$227 bilion ialah berikutan penyalahtentuan urus niaga oleh syarikat-syarikat Malaysia yang mana 20 peratus atau US$57.6 bilion ialah hasil daripada pemindahan wang tidak sah oleh syarikat-syarikat ataupun individu,” kata laporan itu yang menyebut Pengarah Komunikasi GFI, Clark Gascoigne sebagai berkata.

Beliau berkata sejumlah US$122.67 bilion dipercayai telah mengalir secara haram ke dalam negara dalam tempoh yang sama, yang mana 98.5 peratus ialah kerana penyalahtentuan dan 1.5 peratus lagi ialah daripada pemindahan wang “yang tidak direkodkan”.

Pegawai GFI berkata aliran masuk kewangan sebagai merbahaya kepada negara seperti mana juga aliran keluar haram, dan sebagai jenayah.

Aliran masuk kewangan haram boleh dicukaikan dan ia tersalur secara terus kepada ekonomi bawah tanah Malaysia, jenayah domestik kewangan, rasuah dan aktiviti haram yang lain, kata beliau disebut sebagai berkata dalam laporan itu.

Adalah sukar untuk menyatakan alasan di sebalik aliran keluar besar-besaran modal haram itu — tanpa mengkaji secara mendalam mengenai Malaysia, yang merupakan di luar skop laporan itu.

Aliran keluar haram dari Malaysia cenderung untuk mengalir ke perlindungan cukai luar pesisir dan akaun-akaun bank di negara-negara maju dalam lingkungan rantau geografi dari mana asalnya aliran keluar haram itu, kata laporan berkenaan.

Aliran keluar wang haram dari negara-negara maju di Asia pula cenderung untuk berakhir di Singapura, Hong Kong, Macau, Mauritius dan Kepulauan Cooks, atau berakhir di akaun-akaun bank di negara-negara maju Asia seperti Jepun dan Korea Selatan.

Laporan GFI itu menempatkan Malaysia di kedudukan ketiga di kalangan negara-negara membangun untuk jumlah wang yang banyak yang telah dihantar keluar secara haram dari negara dalam tempoh dekad pertama abad ini, di belakang China dan Mexico, masing-masing di tempat pertama dan kedua. — Bernama

Komen Anda

0 Responses to "Malaysia catat aliran keluar kewangan haram tertinggi"