Thursday, 17 January 2013

Dr M Akui Beri IC Kepada PATI

Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan pemberian status warganegara kepada warga asing di Sabah dan menegaskan ia dilakukan kerana mereka berhak dan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang, kata bekas Perdana Menteri itu semasa disoal wartawan pada sidang media di Wisma Karangkraf.

Mahathir berkata selagi seseorang individu tersebut memenuhi syarat seperti fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan menetap di Malaysia mereka berhak untuk mendapat status sebagai rakyat Malaysia.
“Semasa saya jadi Perdana Menteri, memanglah saya berkuasa menentukan pelaksanaan dasar kerajaan.

“Kerajaan menerima warga asing jadi warganegara jika memenuhi syarat tertentu, malahan mereka yang berada di sana bukan satu dua hari tetapi sudah 20-30 tahun dan mereka bercakap bahasa Melayu berhak jadi rakyat Malaysia,” kata Mahathir semasa memberi maklum balas terhadap kenyataan saksi inkuiri Suruhanjaya Di Raja (RCI) berkenaan pendatang haram yang mengatakan pentadbirannya terlibat dalam pemberikan kad pengenalan di Sabah pada 1993-1994.

Mahathir bagaimanapun mengakui terdapat pihak yang tidak senang dengan langkah pemberian kewarganegaraan tersebut tetapi menyatakan langkah tersebut dilakukan mengikut undang-undang.

“Jadi, masalahnya ialah apabila ada orang tidak senang bila ada yang jadi rakyat Malaysia walaupun individu tersebut sudah lama menetap di Malaysia, itu yang timbul masalah.

“Saya akui saya bagi (kewarganegaraan), di zaman pentadbiran saya ada diberikan,” tambah Mahathir.

Komen Anda

0 Responses to "Dr M Akui Beri IC Kepada PATI"