Thursday, 13 December 2012

Sebotaj akar umbi boleh ajar Umno

SETIAP kali Perhimpunan Agung Umno (PAU), semua jurucakap negerinegeri akan diberikan taklimat. Tentunya taklimat itu berkaitan masa perbahasan dan had-had yang ditentukan oleh peraturan perhimpunan, yang ada persamaan dengan peraturan persidangan di peringkat bahagian.

Namun, kali ini, sekatan lebih ketara kepada jurucakap negerinegeri, agar tidak menyentuh perkara-perkara sensitif, kerana Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Tun Razak dikhabarkan akan mengumumkan pembubaran Parlimen, sebaik sahaja selesai PAU 2012.

Dulu, Naib Presiden yang diarahkan mengawal jurucakap negeri-negeri ini ialah Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, tetapi sekarang, ia telah diberikan kepada Hishammuddin Hussein.

Apa yang paling malang, ketika menggulung perbahasan, rata-rata perwakilan dan pemerhati kecewa dengan cara Hishammuddin menggulung yang mengulangi cerita lama, kisah hidung dan bulu roma di betisnya!

Walaupun ada sumber memberitahu, ada halangan kepada jurucakap supaya tidak menimbulkan cerita peranan isteri Perdana Menteri (PM), Datin Seri Rosmah Mansor dalam kerajaan, tetapi yang pasti, tiada sesiapa dibenarkan menyentuh tentang hubungan PM dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Sudah tentu isu Felda Global Ventures Berhad (FGVH) tidak dapat disentuh, kerana ia akan melibatkan Najib yang bertanggungjawab terhadap Felda.

Secara kebetulan, setiap kali pertemuan dengan jurucakap, Ketua Penerangan Umno, Dato’ Ahmad Maslan terlibat sama.

Di Parlimen, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri akan menjawab isu-isu Felda yang dibangkitkan, menyebabkan tiada siapa boleh menyentuh isu ini.

Usahlah sesiapa menunggu ada jurucakap negeri akan menyentuh komisen Kapal Selam Scorpene dan NFC kerana ia sekaligus bererti “menembak” Najib secara terus, yang akan mengesahkan hubungan kurang mesra Najib-Muhyiddin. Berbulan-bulan sebenarnya orang-orang Hishammuddin sudah mengesan siapakah jurucakap negeri-negeri, supaya apa yang hendak disampaikan tidak melihatkan Umno bermasalah.

PAU 2012 disifatkan PAU paling gagal oleh pemerhati politik tanahair. Hasil penggulungan, ucapan Dato’ Seri Shahrizat Abd Jalil dikatakan paling teruk, diikuti dengan ucapan berjela-jela Naib Presiden ketiganya, Mohd Shafie Afdal, Hishammuddin dan Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Seorang ketua bahagian Umno memberitahu, kenapa Hishammuddin masih mahu menyebut perkataan “ekor” dan kemudiannya disahkan oleh Najib, bahawa ketiga-tiga Naib Presiden Umno adalah “3 ekor!” “Ini perhimpunan terbesar dan tertinggi. Kenapa masih nak bergurau, ketika perwakilan dan jurucakap diberikan ingatan supaya bercakap dengan fakta dan jangan banyak melawak,” katanya ketika ditanya pendapatnya pasca PAU 2012.

Ada juga yang mempersoalkan berapakah perbelanjaan yang dihabiskan untuk menghias dalaman dan luaran PWTC kerana PAU 2012 dan siapakah kontraktor yang berjaya mendapat projek runding terus tersebut?

Jadi, apabila Najib menyebut “Setiausaha Kerja yang semakin sihat”, ramai yang mentafsirkan bahawa “selama ini Setiausaha Kerja Umno” tidak cukup sihat.

Tetapi, sebaik sahaja selesai PAU 2102 dan semua kos dikira, ada yang kenyang dengan komisen dari kontraktor!

PAU sebenarnya bukanlah perhimpunan yang bebas untuk mana-mana jurucakap yang hendak menegur pucuk pimpinan.

Jurucakap Kedah, Mohd Kamal Saidin yang selalunya mendapat sambutan kerana bijak menyerang pembangkang, dilihat sudah kehabisan oksigen kali ini, kerana membawa isu kitar semula dalam PAU.

Ada antara jurucakap yang terlalu berjaga-jaga mengeluarkan kata-kata kerana mahu memastikan namanya dicalonkan dalam pilihan raya akan datang.

Rata-rata, teks ucapan jurucakap dipantau dengan teliti oleh Menteri Besar atau Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri. Jika ada pihak yang mendakwa mulut jurucakap Umno digam, ia ada kebenarannya!

Jangan pula ada pihak dalam Umno yang ingin menafikan dakwaan ini kerana setiap jurucakap dipanggil, bukan oleh pihak negeri tetapi pihak Ketua Penerangan Umno, Naib Presiden Umno dan akhir sekali, oleh Timbalan Presiden Umno.

Jika ada jurucakap yang terlepas isu mengkritik atau menegur Presiden Umno, ia tentunya datang dari kehendak Timbalan Presiden.

Jika ada jurucakap yang terucap kata-kata yang mengkritik Timbalan Presiden, sudah pasti mereka diminta berbuat demikian oleh Naib-Naib Presiden yang sedang memerhati dengan penuh minat kerusi timbalan.

Lebih malang, Muhyiddin dan Najib tidak cukup “stamina” untuk menggulung perbahasan kali ini kerana terpaksa mengambil masa yang panjang. Muhyiddin terkejar-kejar untuk menghabiskan “tujuh rukunnya” manakala Najib, mahu pemimpin-pemimpin Umno di peringkat bahagian menjawab “soalan cepu emasnya”.

Masalah paling besar yang Umno hadapi sekarang ialah keputusan pucuk pimpinan mereka, tidak diterima mudah oleh ahli.

Itulah sebabnya, Najib bertanya, jika “saya tidak terpilih sebagai calon?” adakah akan menerima dengan senang hati dan terus memberikan sokongan kepada parti?

Tentulah, secara diam-diam, mereka menjawab, akan sabotaj. Sebab, dengan sabotaj calon dan parti sahajalah pucuk pimpinan boleh “ditegur”. Jika tidak, mereka tidak akan mendengar dan menerima pandangan ahli di bawah.

Jika keputusan PRU12 yang lalu tidak sebegini teruk kepada BN, mustahil berlaku transformasi dan perubahan yang ketara.

Apakah boleh berlaku perubahan dalam Umno, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain jika keputusan PRU12 yang lalu, sama cemerlang dengan keputusan PRU11?

Berhentikah Dato’ Seri S Samy Vellu dari MIC sekiranya semua calon MIC yang diletakkan bertanding menang dalam PRU12 yang lalu?

Lebih dahsyat, soalan yang sama jika ditujukan kepada Umno, apakah Tun Abdullah Ahmad Badawi akan berundur jika keputusan PRU12 yang lalu baik, sebaik apa yang dicapainya dalam tahun 2004?

Jadi, eloklah kalau ahli Umno sabotaj parti dan kalahkan caloncalon yang pucuk pimpinan mereka pilih kerana, inilah cara terbaik untuk menegur mereka yang sudah angkuh dan sombong.

Mereka tidak mudah ditemui, tidak mudah mendengar cadangan dan pandangan dari pihak di bawah. Lebih malang, mereka yang dilantik bekerja untuk parti, berlagak dan angkuh ketika memegang amanah tersebut!

Oleh SAFAR JUMAAT (DD)

Komen Anda

0 Responses to "Sebotaj akar umbi boleh ajar Umno"