Monday, 10 December 2012

Najib Dapat Sokongan India?

Fitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap pembangkang ketika menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Agung MIC semalam menyebabkan beliau bakal hilang sokongan masyarakat India dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, S Manikavasagam berkata, kenyataan Najib yang mahu undi kaum itu sebagai deposit tetap bagi memenangkan Barisan Nasional (BN) menunjukkan begitu terdesaknya beliau.

“Ucapan Najib cukup terdesak.

Apa sahaja yang dicakapnya hanya memburukkan Pakatan Rakyat. Beliau memberitahu kita suka tipu rakyat.

“Masalahnya sekarang, Pakatan belum jadi kerajaan. Bagaimana Najib boleh cakap kita tipu. Siapa yang tipu siapa, kalau bukan BN,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengingatkan Najib supaya tidak terlalu ghairah mengharapkan undi masyarakat India kerana mereka sudah serik penindasan BN.

“Undi masyarakat India bukan deposit tetap BN, tetapi deposit tetap Pakatan. Najib jangan mimpi lagi.

“Masyarakat India sudah terima kami (Pakatan) dari akar umbi. Setiap kali ceramah dan turun padang, mereka penuhi tapak ceramah untuk dengar penerangan,” kata Ahli Parlimen Kapar itu.

Selain menabur janji, Najib juga memburuk-burukkan pembangkang dengan menyatakan satu undi kepada Pakatan bermakna satu undi untuk huru-hara.

“Najib tidak sedar bahawa BN yang menyebabkan masyarakat India masih menggunakan IC merah. Sudah berapa lama BN memerintah, kalau betul mahu bela kami, kenapa tidak selesaikan masalah itu.

“Jangan nak putar belit cakap Pakatan tipu rakyat kerana terdesak mahu undi masyarakat India. Mereka semua sudah tahu nak beza siapa yang menipu rakyat,” ujarnya. -KD


Komen Anda

0 Responses to "Najib Dapat Sokongan India?"