Friday, 7 December 2012

Lebih banyak keganasan menjelang parlimen dibubar

Sikap polislah yang menyebabkan pihaknya dilihat bersubahat dengan keganasan yang dilakukan oleh Umno terhadap perhimpunan-perhimpunan Pakatan Rakyat (PR), kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Malah, katanya, serangan terhadap ceramah PR di Gombak Selasa lalu dengan sendirinya menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya kemarahan Umno terhadap parti lawan "tidak sampai tahap nak tembak bunuh".

Mohamad juga melihat kejadian tersebut sebagai notis keganasan Umno yang kelihatan tidak sabar-sabar lagi mahu mencetuskan ulangan peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

"Bila (bekas Ketua Polis Negara Tan Sri) Musa Hassan tegur sikap polis yang tidak halang pihak yang mengganggu ceramah PR di Gombak dan membiarkan pertumpahan darah berlaku, rakyat serta merta melihat polis bersubahat dalam kejadian itu," katanya.

Musa berkata, polis sepatutnya boleh menghidu lebih awal kewujudan sebarang unsur provokasi dan bertindak tegas menghalang pihak yang mengganggu ceramah terbabit.

“Polis patut halang pihak lain mengganggu ceramah dan jangan biarkan pertumpahan darah berlaku," katanya.

Mohamad juga menjangkakan lebih banyak keganasan akan dilakukan oleh Umno menjelang tarikh Parlimen sepatutnya dibubarkan dan pilihan raya diadakan.

"Bila tarikh pilihan raya tidak berani diisytiharkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), ia membuktikan mereka takut menghadapi pilihan raya.

"Sukar ditolak kemungkinan mereka mahu menggunakan peristiwa berdarah seperti peristiwa 13 Mei untuk mengekalkan kuasa.

"Sebab itulah saya melihat serangan ke atas ceramah PR di Gombak itu adalah notis keganasan dari Umno untuk mencetuskan peristiwa 13 Mei yang turut dijangkakan oleh bekas Ketua Polis Negara," kata beliau sambil merujuk kenyataan Musa yang menyatakan tidak mustahil 13 Mei berulang jika politik samseng gagal dikawal. -HD

Komen Anda

0 Responses to "Lebih banyak keganasan menjelang parlimen dibubar"