Saturday, 15 December 2012

Kajian: AES Terbukti Hanya Kaut Untung

Sebuah kajian bebas mendapati pelaksanaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bukan cara untuk mengurangkan kemalangan jalan raya tetapi hanya berfungsi sebagai suatu dasar untuk mengaut keuntungan.

Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) mengemukakan bukti kerajaan United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (US), Perancis dan Australia mengambil kesempatan dengan memperoleh keuntungan berjuta dolar melalui pelaksanaan AES.

KPRU dalam kajiannya berkata, perkara ini kemudiannya mendapat tentangan hebat kerana kerajaan berkenaan melaksanakan AES secara senyap-senyap tanpa rundingan bersama rakyat dan pengguna jalan raya khususnya pada peringkat perancangan sehingga berjaya memaksa program itu ditutup.

“Pada tahun 2006 sebuah siasatan samaran di UK telah menemui kamera trafik sememangnya dilakukan untuk meraih keuntungan bagi kerajaan dan syarikat pembekal kamera trafik dan bukannya untuk meningkatkan keselamatan di jalan raya.

“Malah menurut siasatan tersebut, kamera trafik sememangnya direka untuk mengaut keuntungan daripada pengguna jalan raya di mana saman yang bernilai berjuta-juta dolar akan disalurkan secara rahsia kepada kerajaan dan bukannya memberi semula wang tersebut untuk memperbaiki keselamatan jalan raya,” katanya.

KPRU turut mendapati penentangan terhadap syarikat pembekal kamera trafik mencapai tahap kritikal di mana terdapatnya laman sesawang yang menyenaraikan kegagalan syarikat-syarikat tersebut dalam memperbaiki keselamatan jalan raya.

“Pada tahun 2011, syarikat berkaitan telah kehilangan sebanyak USD$2.4 juta dalam kontrak berikutan permintaan ke atas kamera trafik yang kian menurun dan penentangan terhadap kamera-kamera trafik yang kian meningkat.

“Pada tahun 2012, nilai saham syarikat berkaitan di Amerika Syarikat pula menjunam daripada USD$2.10 kepada USD$1.76 (16 peratus) selepas syarikat berkaitan terlibat dengan amalan rasuah dengan pegawai majlis perbandaran untuk mendapatkan kontrak pemasangan kamera trafik.

Berbeza di Belanda dan Sweden pula, program AES dikatakan berjaya berbanding negara lain kerana kerajaan terbabit berusaha untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang cekap dan komprehensif, lantas menjadikan usaha memperbaiki keselamatan jalan raya satu usaha yang menyeluruh.

Selain itu, negara terbabit juga mempunyai kecekapan sistem pengangkutan awam yang begitu tinggi sehinggakan majoriti rakyatnya amat bergantung kepada pengangkutan awam selain basikal.

Beban kepada pengguna


“Corak am yang melakarkan pelaksanaan program AES di Malaysia dan di negara lain adalah berteraskan usaha kerajaan atau pihak berkaitan untuk meraih keuntungan sementara para pengguna jalan raya dibebani dengan kadar saman yang tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, KPRU mencadangkan satu sistem pengangkutan yang komprehensif harus dilakukan jika kerajaan Malaysia serius mahu memperbaiki keselamatan pengguna jalan raya.

Ini termasuklah sistem pengangkutan awam yang cekap dan efektif, kempen kesedaran di semua lapisan masyarakat mengenai kepentingan keselamatan jalan raya, dan rangkaian jalan raya yang selamat dan berkesan.

“Di Malaysia – di mana kecacatan sistem pengangkutan awam dan amalan rasuah sering dibangkitkan – apakah pelaksanaan sistem AES dibantah sepenuhnya akan ditangguhkan oleh kerajaan hari ini? “Pendek kata, kita nakkan kerajaan yang dahulukan kepentingan kroni atau kepentingan rakyat terbanyak?,” soalnya. -FMT

Komen Anda

0 Responses to "Kajian: AES Terbukti Hanya Kaut Untung"