Tuesday, 4 December 2012

Hasan Ali dakwa DAP penghalang Islam?

Datuk Dr Hasan Ali hari ini mendakwa parti DAP merupakan batu penghalang untuk Islam dilaksanakan dinegara ini walaupun parti komponen MCA seringkali mendakwa DAP mahu membenarkan hukum hudud dilaksanakan di negara ini oleh kerana parti tersebut bergabung dengan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Apa yang hendak ditimbulkan di sini bukan soal penguatkuasaan peraturan seperti yang terdapat dalam enakmen yang telah berkuatkuasa sejak sekian lamanya.

“Tetapi, lebih kepada soal tentangan dan halangan terhadap peraturan itu yang datangnya daripada DAP rakan politik PAS dalam pakatan pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Presiden Jalur Tiga (Jati) berkata, tindakan DAP yang seringkali membangkang apa jua usaha PAS memartabatkan Islam serta sikap PAS yang seringkali akur dengan bangkangan tersebut mengecewakan umat Islam.

Terbaru, Pengerusi DAP Karpal Singh turut campur tangan dalam isu penggunting/pendandan rambut wanita tidak dibenarkan memotong/mendandan rambut lelaki termasuk yang bukan Islam menyebabkan Jawatankuasa PAS Pusat secara tergesa-gesa meminta Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) mengkaji semula tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh mereka.

Dr Hasan berkata tindakan Karpal Singh menggambarkan bahawa DAP tidak sesekali bersedia menerima apa sahaja peraturan yang mempunyai roh Islam, sehinggakan hal-hal yang diterima baik oleh rakyat daripada sudut akhlak turut disanggah.

Tegasnya, tanpa berfikir panjang dan menilai implikasi bentuk tindakan yang akan diambil, pimpinan tertinggi PAS dilihat terus mundur ke belakang dan akur dengan kemahuan dan niat jahat terhadap Islam yang menjadi amalan DAP.

“Dalam hal yang dikatakan remeh seperti ini pun tidak dapat diterima baik oleh DAP apa lagi dalam hal-hal besar seperti melaksanakan Hudud dan Negara Islam yang PAS berjanji akan merealisasikannya apabila pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya,” katanya.

MCA dalam kempennya kepada masyarakat Cina seringkali mendakwa DAP bersekongkol dengan PAS untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum Hudud.

“MCA sekali lagi hendak mencabar pendirian DAP sama ada mereka bersama–sama MCA menentang pelaksanaan hudud versi PAS atau tidak?

“Sekirannya mereka menyatakan mereka tidak berkongsi pendirian yang sama dengan MCA dalam isu hudud versi PAS maka mereka perlu tampil memberitahu rakyat bahawa mereka menyokong pelaksanaan hudud versi PAS di negara.

“Diharapkan DAP tidak lari dan sembunyi daripada cabaran pendirian mereka dalam isu ini. Mereka hanya perlu menyatakan pendirian sokong atau tidak? bertanya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini. -TMI

Komen Anda

0 Responses to "Hasan Ali dakwa DAP penghalang Islam?"