Tuesday, 25 December 2012

DAP gesa BN benar perkataan ‘Allah’

Kerajaan Persekutuan digesa untuk membenarkan penggunaan kalimah “Allah” dalam kitab Bible berbahasa Melayu sepertimana yang dibenarkan di Malaysia Timur sejak 50 tahun lalu.

Dalam perutusan Krismas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini, gesaan itu dibuat berikutan kerajaan Barisan Nasional (BN) jelasnya sering melaungkan bahawa mereka mesra rakyat yang membawa keamanan, kemakmuran berlandaskan prinsip kebenaran, kebebasan, keadilan, demokrasi termasuk juga integriti.

“Selain membenarkan perkataan Allah seperti yang digunakan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu dan ribuan tahun di negara Timur Tengah, BN juga harus menghentikan taktik menakutkan pengundi Melayu dengan mendakwa negara Kristian akan tertubuh di negara ini.

“Penganut Kristian tidak pernah mahu menubuhkan sebuah negara Kristian di negara ini ... mereka taat kepada Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Malaysia,” katanya dalam perutusan tersebut.

Akhbar The Herald menerima masalah apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghalamg penerbitan bahasa Melayu Bible - Al Kitab - daripada menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada Tuhan agama Kristian.

Mahkamah bagaimanapun pada 2009 memutuskan tindakan KDN itu bercanggah dengan sistem perundangan, dan penghakiman tersebut menyebabkan siri serangan ke atas beberapa gereja di negara ini.

Kerajaan Persekutuan berhujah penggunaan perkataan Allah adalah eksklusif untuk komuniti Islam sahaja. -TMI

Komen Anda

0 Responses to "DAP gesa BN benar perkataan ‘Allah’"