Tuesday, 27 November 2012

Taklimat Kes Scorpene Oleh Peguam Perancis Di Singapura Esok

Taklimat kes Scorpene yang sepatutnya diadakan di Parlimen esok dipinda ke Hotel Changi di Singapura berikutan arahan daripada Speaker Dewan yang enggan membenarkan kehadiran peguam Perancis.

Taklimat akan bermula pada 11 pagi sehingga 2 petang esok dan dijangka akan dihadiri majoriti ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Tambahan, taklimat yang sepatutnya dilakukan oleh dua peguam Perancis, William Bourdon dan Joseph Brohem terpaksa dibatalkan dan hanya diwakili peguam bersekutu mereka, Apoline Cagnatn.

Cagnatn dikatakan sudah berlepas daripada Perancis pukul 3 petang tadi (waktu Malaysia) dan dijangka tiba di Singapura pada pukul 7 pagi esok.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam responnya berkata, keputusan itu dibuat beradasarkan kuasa mutlaknya untuk menentukan, memberi kebenaran atau arahan bagi membolehkan seseorang masuk ke kawasan Parlimen.

Menurut Pandikar, keputusan itu turut dilakukan kerana mendapat bantahan rasmi daripada Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) demi menjaga kedaulatan dan nama baik institusi Parlimen supaya kekal terpelihara.

“Kalau pun ada bukti baru yang perlu diperjelaskan kepada mana-mana pihak khasnya ahli Parlimen, pada hemat saya, ia masih juga berstatus tuduhan, bersifat fan berunsur politik yang bukan ‘bipartisan’.

“Sehubungan itu, saya amat bersetuju dengan pendirian BNBBC jika agenda peribadi ini hendak diperjelaskan, bolehlah menggunakan ruang lain seperti ibu pejabat parti, pejabat Suaram atau lain-lain premis awam yang bersesuaian tanpa melibatkan institusi Parlimen Malaysia.

“Keputusan muktamad ini juga sejajar dengan keputusan saya dalam Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat pada 8 November 2012 mengenai ‘Isu Keselamatan Parlimen Malaysia dan Penggunaan Ruang Sidang Media’ dengan mengambil kira keistimewaan dan hak ahli Parlimen dibawah Peraturan Mesyuarat 93 dan 94 demi memastikan tahap integriti, keluhuran dan kedaulatan institusi Parlimen Malaysia terpelihara sepanjang masa,” katanya.

Tambah Pandikar, setakat ini tiada sebarang permohonan rasmi yang diterimanya, sebaliknya hanya surat makluman mengenai hasrat untuk membawa tetamu undangan (peguam Perancis) masuk ke Parlimen.

Pandikar berkata demikian dalam satu surat jawapan rasmi kepada pejabat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Tian Chua dalam sidang media berkata, William dan Joseph tidak dapat hadir kerana enggan mengambil risiko yang tinggi apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak memberikan sebarang jaminan keselamatan kepada mereka.

“KDN kata tertakluk kepada syarat-syarat imigrasi yang akan ditentukan Jabatan Imegresen…tugas mereka hanya nak masuk dan buat taklimat ringkas. Mereka tak berminat nak buat kecoh pun,” katanya.

Sehubungan itu Tian Chua berkata pihaknya mengalu-alukan kehadiran ahli Parlimen BN termasuk ahli Senat ke Singapura esok dan berusaha untuk menyiarkan taklimat tersebut secara langsung termasuk melalui laman sosial Facebook.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang R Sivarsa berkata keputusan Speaker itu merupakan langkah terbaru untuk mengurangkan ruang bagi rakyat menyuarakan pendapat dalam Parlimen.

“Secara langsung menunjukkan adaperkara yang tak mahu didedahkan. Ada perkara yang mereka tak mahu rakyat tahu,” katanya. -FMT

Komen Anda

0 Responses to "Taklimat Kes Scorpene Oleh Peguam Perancis Di Singapura Esok"