Tuesday, 20 November 2012

SPR : Pelbagai Kesilapan Dalam Daftar Pemilih

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan terdapat pelbagai kesilapan dalam daftar pemilih, kata pemimpin Pakatan Rakyat (PR) hari ini.

“Semua kebimbangan dan keraguan kami terbukti adalah benar. Ia bukan satu tuduhan liar, tapi ia berdasarkan penemuan sah yang disahkan sendiri oleh SPR,” kata naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar kepada wartawan selepas mesyuarat dengan SPR bersama 40 ahli parlimen (MP) hari ini.

“Mereka kata mereka juga manusia. Tidak sempurna.

“Tolong sampaikan kebimbangan ini dan tolong beri kami satu jaminan bahawa anda tidak boleh mengadakan pilihan raya sehingga semua perkara ini diselesaikan,” kata beliau.

MP PKR, Fuziah Salleh dan DAP, Anthony Loke yang turut hadir dalam sidang akhbar tersebut juga mendedahkan pelbagai kesilapan dalam daftar pemilih yang diakui sendiri oleh SPR sendiri hari ini.

Fuziah berkata terdapat 40 ribu pengundi yang nama mereka hilang dalam daftar pemilih disebabkan status kematian mereka tetapi mereka kemudiannya didaftarkan sekali lagi.

Beliau menambah terdapat pengundi meragukan yang berumur melebihi 90 tahun.

Menurut Fuziah lagi, SPR memberitahu bahawa peraturan pilihan raya menyatakan mereka tidak dibenarkan untuk membuang nama melainkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan pengundi tersebut meninggal dunia.

Fuziah juga berkata terdapat 2, 709 kes di mana pengundi yang ditempatkan semula di negeri yang salah lokalitinya walaupun alamat mereka menetap masih sama.

“SPR berkata mereka telah berhenti melakukannya, tetapi penemuan kami menunjukkan mereka masih terus melakukannya lagi,” dakwa Fuziah.

Dalam pada itu juga, Fuziah mendakwa seramai 7, 958 pengundi baru yang ditemui “muncul tiba-tiba” dalam daftar pengundi tanpa dipaparkan terlebih dahulu sambil mengatakan perkara tersebut berdasarkan data-data terbaru daripada Disember 2011 hingga suku hujung tahun ini.

Loke pula berkata rekod menunjukkan hampir 300 ribu pengundi yang telah mendaftar sebelum berusia 21 tahun, umur yang wajib untuk mengundi.

Belia berkata SPR telah mengakui dan membetulkan “kesilapan kemasukkan data” tetapi menyimpan nama dalam daftar pengundi memandangkan semakan SPR mendapati pengundi ini telah mendaftar selepas melepasi umur 21.

Pemimpin PR dan kumpulan aktivis Bersih 2.0 telah lama meminta daftar pengundi yang bersih menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Antara tujuh permintaan lain Bersih 2.0 adalah mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, minimum tempoh berkempen 21 hari, kebebasan media, memperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuan dan tamatkan politik kotor.

Komen Anda

0 Responses to "SPR : Pelbagai Kesilapan Dalam Daftar Pemilih"