Thursday, 22 November 2012

Ratusan Mangsa AES Mahu Cabar Kerajaan Di Mahkamah

Sekurang-kurangnya 260 mangsa saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mahu mencabar pelaksanaannya sistem itu dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia.

Menyatakan bantahan di kaunter penerimaan saman itu di pejabat Agung PAS hari ini, mereka menjadikan peguam Kempen Anti Saman Ekor (Kase) sebagai wakil mereka di mahkamah.

“Kase menerima lebih 60 permohonan tidak termasuk melalui emel melibatkan lebih 200 orang.

“Tujuan Kase bukan untuk kurangkan nilai saman tetapi bela mereka yang dizalimi sistem AES melalui khidmat guaman percuma,” kata Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar.

Kes terawal didengar pada 6 Disember ini di Mahkamah Majistret Jalan Duta jam 8 pagi manakala terakhir ialah Januari tahun depan.

Mulai 1 Disember ini, Kase akan membuka kaunter setiap dua minggu antara 12 hingga 1.30 tengah hari.

Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pemuda PAS, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaim pula, berkata mangsa AES harus berani tampil mempertahan hak mereka.

Ini kerana, katanya, saman terhadap Orang Kena Saman (OKS) tidak jelas, selain pelaksanaan AES yang bermasalah.

“Saman itu mengelirukan apabila ada saman diterima menggunakan seksyen 79(2) tetapi kesalahan dinyata sebagai melebihi had laju.

“Seksyen ini bukan berkaitan had laju tetapi pelanggaran arahan dan isyarat lalu lintas,” katanya.

Mangsa AES, katanya dinasihati tidak bimbang dengan perkataan saman kerana ia adalah saman paling kecil dalam negara.

“Kalau bawa ke mahkamahpun, tak perlu duduk dalam kandang. Mereka yang duduk dalam kandang hanya untuk mereka yang terlibat dengan kes jenayah,” katanya

Beliau mengajak mangsa AES tampil mendaftar dengan Kase untuk mendapat khidmat guaman percuma dan mencabar kes itu di mahkamah. -KD

Komen Anda

0 Responses to "Ratusan Mangsa AES Mahu Cabar Kerajaan Di Mahkamah"