Saturday, 24 November 2012

Politik ugut warnai politik Sarawak

KETIKA Barisan Nasional (BN) masih berkira-kira mahu mempertahankan Putrajaya, pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April 2011 memberi isyarat berlainan.

Biar pun BN dengan dominasi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), namun kemenangan Pakatan Rakyat dengan 15 kerusi, dikira sudah mampu mengugat Tan Sri Taib Mahmud.

Tanpa mampu menafikan majoriti dua pertiga BN, namun DAP meraih kemenangan di 12 Dun dan KeADILan pula tiga kerusi, manakala Bebas satu.

Dewan Undangan Negeri Sarawak mempunyai 71 kerusi. Pada pilihan raya negeri yang begitu sengit dan mencabar memberi ruang kepada 213 calon tampil mengalas perjuangan.

Biar pun ketika itu BN diketuai Taib yakin meneruskan takhta kuasa, namun cabaran diberi Pakatan seperti tidak tertahan lagi. Media BN dan kerajaan seperti berselera dengan kuasa yang mereka ada.

Sebaliknya Pakatan melalui media alternatif dan media baru memberi gambaran sebaliknya.

Sepanjang persaingan sengit ketika kempen berlangsung, tiada pihak dari mana-mana kem mampu mendabik dada. Dato’ Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kelihatan paling bimbang.

Kemaraan Pakatan yang diketuai Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak mudah untuk ditolak ketepi. Bujang Senang yang berkeliaran di Sungai Sarawak tidak mematah semangat petugas Pakatan menyusurinya.

Berbeza dengan BN yang mundar mandir dengan helikopter dan segala jentera kerajaan. Bagi mereka kawasan di pedalaman Sarawak boleh sampai dalam tempoh singkat sahaja.

Berlainan dengan jentera kempen Pakatan. Kederat mereka tidak mampu untuk melewati keseluruhan bumi Sarawak yang terlalu luas.

PBB yang mengakar kuasa di Sarawak sejak berdekad bertanding di 35 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) - 19 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) 9 kerusi, manakala Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) 8 kerusi.

Segala kekuatan dimiliki BN, maka tidak hairanlah mereka menang mudah di kawasan pedalaman. Dun Bukit Saban menyebabkan SNAP hilang deposit apabila hanya meraih 641 undi. Begitu juga ada calon KeADILan dan Bebas hilang wang pertaruhan.

Kawasan lain yang dihunia peribumi didominasi BN iaitu termasuk Katibas, Daro, Jemoreng, Baleh, Belaga, Simunjan, Batu Danau, Machan, Belawai, Pakan Bukit, Sari, Tebedu, Meluan, Opar, Balai Ringin, Layer, Semop, Tarat, Tupong, Kalaka, Balingian, Demak Laut dan banyak lagi Dun lain.

Bagaimanapun KeADILan mencatat sejarah apabila Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sarawak, Baru Bian menang di kawasan jauh di pedalaman di Ba`kelalan dengan meraih 2,505 undi. Sebaliknya calon BN di situ mendapat 2,032 undi.

PAS juga hampir-hampir mempunyai wakil tunggal di Sarawak apabila calonnya, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus hanya ketinggalan 391 undi di Beting Maro.

Calon BN, Razaili Gapor hampir berputih mata dalam perlawanan satu lawan satu.

Selain itu PAS juga meletak calon di Sadong Jaya, Muara Tuang, Sebuyau dan Tanjong Datu.

Pada pilihan raya negeri Sarawak KeADIlan bertanding di 47 kerusi, DAP (15) dan PAS (5), manakala SNAP bertanding di 27 kerusi.

Bagi Timbalan Yang Dipertua PAS Batang Lupar, Jalani Morshidi kekangan utama yang dihadapi Pakatan Rakyat iaitu menghantar mesej kepada rakyat.

“Rakyat Sarawak terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman mendapat maklumat utama daripada TV1, TV2 dan TV3.

“Itulah saluran informasi bagi rakyat Sarawak. Sekiranya kita belum dapat memecah banteng tersebut nampaknya agak sukar untuk Pakatan bertapak lebih kukuh di Sarawak,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri muktamar PAS di Kota Bharu baru-baru ini.

Anak muda yang berusia 27 tahun itu kini berniaga. Bagaimanapun beliau berkata, minat anak muda terhadap PAS kini semakin memberangsangkan.

Kata beliau, penduduk yang tinggal di kawasan bandar boleh mendapatkan maklumat daripada internet. Namun di kawasan luar bandar masih sukar untuk ditembusi media baru.

Beliau juga memberitahu sebenarnya hati kecil rakyat Sarawak begitu marah kepada kerajaan pimpinan Taib, namun mereka tidak berani mengubah status quo.

“Kalau ada yang bersuara tidak puas hati terutamanya mengenai isu tanah adat, pastinya akan diugut. Bantuan kerajaan disekat.

“Budaya ugutan begitu berleluasa sekali. Bagi yang bekerja dengan kerajaan ugutan dipindahkan ke pedalaman menjadi senjata utama.

“Sebenarnya banyak masalah tempatan yang berlaku. Isu bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya masih lagi menjadi hambatan utama,” ujarnya.

Oleh itu beliau melihat hanya dengan kehadiran lebih kerap pemimpin Pakatan dari Semanjung boleh membuka lebih luas mata hati rakyat Sarawak.

Seorang lagi perwakilan, juga pegawai kerajaan yakin isyarat yang dimulakan pada pilihan raya negeri tahun lepas akan menjalar ke seluruh bumi Sarawak. -DD

Komen Anda

0 Responses to "Politik ugut warnai politik Sarawak"