Tuesday, 20 November 2012

Pakatan dedah ‘Projek Sapu Tanah’ BN di Selangor

Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor hari ini mendedahkan berlakunya “projek sapu tanah” oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di Selangor yang melibatkan 23 keping tanah yang mempunyai keluasan 33.5 ekar di negeri berkenaan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Suee Lim, tanah-tanah dengan keluasan satu hingga tujuh ekar itu dianggarkan bernilai lebih daripada RM 20 juta, dan merupakan tanah yang bernilai tinggi kerana merupakan tanah untuk tujuan perniagaan komersial, rumah kedai, dan bangunan perniagaan.

“Ada 24 keping tanah di seluruh Selangor yang dimohon bukan sahaja oleh Umno, tetapi juga kesemua parti komponen BN seperti MCA, MIC, termasuk Gerakan.

“Daripada jumlah itu, 14 dimiliki Umno, lima milik MCA, tiga milik MIC, dan satu milik Gerakan,” kata Adun Sekinchan itu ketika sidang media di lobi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

Jelas beliau, perkara itu berlaku antara 2000 hingga 2008, yang ketika itu Selangor diketuai oleh Dr Khir Toyo selaku Menteri Besar, sebelum negeri berkenaan tewas pada Pilihan Raya 2008 kepada PR.

“Enam daripada tanah milik Umno itu dipunyai Umno Bahagian Sungai Besar, yang pada masa itu Ketua Umno Sungai Besar adalah Khir Toyo.”

Jelasnya, daripada sembilan daerah yang terdapat di Selangor, hanya dua sahaja yang tidak mempunyai tanah milik bahagian dan cawangan BN itu, iaitu di Kuala Langat dan Hulu Selangor.

Justeru, beliau mencabar BN untuk memulangkan kembali tanah berkenaan sekiranya pembangkang di Selangor itu benar-benar memperjuangkan rakyat.

“Bagaimana mereka boleh mendapat tanah tersebut dengan harga premium sekaki nominal hanya RM1.

“Saya cabar minta Umno, BN kalau betul ikhlas, serahkan 23 tanah ini kepada rakyat Selangor untuk tunjukkan mereka perjuangkan rakyat,” katanya.

Malah, beliau juga akan membawa perkara tersebut kepada pengetahuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk pihak polis untuk menyiasat sama ada wujudnya elemen rasuah atau tidak dalam perkara itu. -TMI

Komen Anda

0 Responses to "Pakatan dedah ‘Projek Sapu Tanah’ BN di Selangor"