Friday, 2 November 2012

Nazri Didesak Lepaskan Jawatan Menteri?



Rafizi Ramli hari ini mencabar Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz untuk bersikap “gentleman” dan mengikut jejak langkah rakan Kabinet, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan mengambil cuti berikutan dengan hubungannya dengan peniaga balak Sabah, Michael Chia.

Menurut Rafizi, satu laporan akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Nazri dan keluarganya pada Isnin ini, dengan tuduhan Chia memberi anak menteri tersebut kenderaan mewah bagi membebaskan dirinya dari tuduhan rasuah.

“Saya rasa ia hanya memalukan pada Nazri jika Shahrizat dilihat lebih berani dan bertanggungjawab.

“Jadi jika dia (Nazri) seorang pemimpin, jadi seorang “gentleman” dan ikut jejak Shahrizat, ambil cuti sementara siasatan sedang dibuat,” kata pengarah strategi PKR itu di sidang media hari ini, kali kedua semenjak semalam.

Chia baru-baru ini dibersihkan namanya dari tuduhan rasuah melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman selepas badan pencegahan rasuah Hong Kong mendapati beliau cuba untuk menyeludup wang ke Malaysia, adalah “dana politik” untuk Umno Sabah dan bukan wang peribadi Musa.

Rafizi memberitahu Nazri, yang baru-baru ini menggelarkan dirinya sendiri sebagai “menteri undang-undang nombor satu”, mungkin akan didapati bersalah kerana beliau adalah menteri yang memberitahu Parlimen bahawa Musa telah dibebaskan dari tuduhan rasuah.

Dengan mengumumkan Musa bebas dari tuduhan rasuah, Rafizi menambah, Nazri secara tidak langsung membebaskan Chia juga, walaupun gagal mengemukakan siasatan kepada kedua-dua individu berikut, sama ada dari SPRM atau dari Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC).

“Jika apa yang kami katakan tidak benar, dedahkan semuanya, Nazri, Jabatan Peguam Negara dan SPRM, semua harus dedahkan kertas siasatan mereka bahawa mereka mendakwa Chia tidak melakukan kesalahan tersebut,” kata Rafizi lagi.

“Kami tidak akan hanya ikut kata Nazri bulat-bulat, kami juga mengalami pengalaman yang sama sebelum ini semasa kes NFC. Kita mesti buktikan bahawa ICAC telah membersihkan Chia, dari Hong Kong sendiri.

” Rafizi tidak bersetuju dengan kenyataan Nazri semalam bahawa tidak ada perselisihan kepentingan apabila anaknya menggunakan Hummer milik Chia, dengan mengatakan Nazri mempunyai pengaruh yang kuat dalam Parlimen.

“Dengan kenyataannya di Parlimen, yang membersihkan nama Chia ke atas pertuduhan tersebut, ia membawa pengaruh dalam kenyataannya, lebih dari SPRM sendiri,” katanya lagi.

Dengan Nazri mengisytiharkan kes Musa-Chia telah ditutup, ia bagaimanapun tidak ada kenyataan dari SPRM atau ICAC.

Apabila ditanya tentang tuduhan Rafizi semalam, Nazri semalam tidak menafikan atau mengatakan bahawa anaknya menggunakan Hummer milik Chia, sebaliknya beliau berkata tidak ada salahnya jika ianya betul.

Menteri senior itu juga berkata tidak perselisihan kepentingan dalam hal ini, dan mengatakan beliau tidak menyiasat atau membersihkan nama Chia dalam kes rasuah itu.

“Keterangan Nazri tidak masuk akal langsung, dan saya lebih ‘gentleman’ dari dia kerana saya berani memilih jalan ini dan bersuara, dan tidak berlindung di sebalik imuniti ahli Parlimen.

“Dan saya rela untuk dihadapkan ke mahkamah,” kata Rafizi yang kini menghadapi dua kes dalam pendedahannya terhadap NFC — kerana tuduhan fitnah Shahrizat, dan melanggar undang-undang bank.

Pada awal sidang media, Rafizi memaparkan tujuh video pengintipan sebagai bukti tambahan dengan video semalam yang menunjukkan keluarga Nedim menggunakan kenderaan mewah Chia.

Video itu menunjukkan perjalanan Hummer tersebut dari kediaman kondominium mewah di Damansara Heights itu, di mana Nedim dan keluarganya dikatakan tinggal di rumah tersebut.

Rafizi juga menunjukkan dalam video tersebut kereta Audi hijau, yang didakwa dipandu oleh Nedim, dan Toyota Vellfire hitam yang dipandu oleh isterinya.

Menurut Rafizi, kenderaan Hummer tersebut selalunya digunakan oleh pemandu peribadi keluarga dan pengawal peribadi mereka dan digunakan untuk kenderaan ‘menyimpan barang’.

Bagaimanapun, tidak ada satu video memaparkan Nedim atau ahli keluarganya. -TMI

Komen Anda

0 Responses to "Nazri Didesak Lepaskan Jawatan Menteri?"