Thursday, 29 November 2012

KJ: Gempur Pakatan durjana hingga berkubur



Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin meminta anggota sayap parti itu supaya menghadapi pilihan raya umum akan datang dengan meneladani semangat juang tentera Bersekutu yang melawan pakatan Perikatan dalam Perang Dunia Kedua.

Mengimbau semula saat getir peperangan berkenaan, Khairy berkata semangat rakyat dan tenteranya pada saat getir itu disemarakkan oleh perdana menteri Britain di waktu itu, Winston Churchill.

"Detik getir antara dua kemungkinan, antara dua masa depan, antara cahaya dan kegelapan. Perwira itu tak goyah, tak gentar, malah berikrar: Negaranya akan bertempur di lautan, bertempur di udara, di tepi pantai mahupun di celah jalanan. Negaranya tidak akan menyerah kalah, kendati pun dibiarkan kebuluran!," katanya.

Dalam ucapan bertajuk "Dalam dua masa depan" di perhimpunan agung sayap berkenaan hari ini, Khairy berkata perwakilan perlu mendepani musuh mereka sehingga "berkuburlah Pakatan durjana".

"Dengan seiras semangat juang, saya menyeru para perwakilan, mari kita tempur seteru kita di segenap ruang! Kita bahas mereka di Parlimen, kita patahkan hujah mereka di kedai kopi, kita dedah muslihat mereka di alam siber.

"Tak kira di kota atau di desa, kita tumpaskan pengkhianat bangsa. Kita tempur, kita gempur, lantas berkuburlah Pakatan durjana," katanya di dewan Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Dalam ucapannya itu, Khairy menumpukan serangan ke atas Pakatan Rakyat dan juga mempromosi dasar popular yang ditawarkan BN untuk golongan muda.

Beliau turut mendakwa Pakatan hanya membawa "budaya anarki" selain tidak menghormati demokrasi berparlimen dan musyawarah.

Berikut adalah teks penuh ucapan Khairy:

1. Hamzah Fansuri pernah bergurindam, kepada orang muda ditinggalkan pesan:

“Wahai muda kenali dirimu
Ialah perahu tamsil tubuhmu
Tiada lah berapa lama hidupmu
Ke akhirat jua kekal diammu Hai muda arif budiman
Hasilkan kemudi dengan pedoman
Alat perahumu jua kerjakan
Itulah jalan membetuli insan”

Marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, yang telah mengurniakan kudrat untuk kita terus berkhidmat di atas wahana perjuangan Umno, yang baru sahaja menyambut hari lahir yang ke 66. Ulang tahun kelahiran yang telah menjadi saksi penglibatan Pemuda Umno berlari megah, merentasi 191 bahagian, seantero 13 buah negeri, untuk mengibarkan Sang Saka Bangsa di cakerawala negara. Sang Saka Bangsa – suatu nama keramat yang telah dizahirkan oleh Pergerakan kita sendiri.

2. Sebagai sayap paling penting dalam parti, organisasi kita menjadi pembawa wadah dan pelopor wawasan bukan sahaja buat orang Melayu tetapi juga seluruh watan, bermula dari era kolonial hingga ke kala arus permodenan mutakhir. Bukan sekadar menjadi pemerhati bisu atau pengikut tuli, namun sebagai pembawa obor perubahan, merintis jalan menuju kecemerlangan. Sirah kemerdekaan merakamkan bahawa Pergerakan kitalah yang telah membawa usul pada tahun 1955, agar tarikh kemerdekaan disegerakan dan dibuat pada tanggal keramat 31 Ogos 1957. Bahkan Pemuda jugalah perintis awal bagi semangat nasionalisme sejagat serta pengisian kemerdekaan yang inklusif dan sebenar, dengan cadangan agar slogan kemerdekaan ditukar dari “Hidup Melayu” kepada “Merdeka” pada tahun 1951. Natijahnya, dari dulu, kini dan selamanya, maqasid dan manhaj perjuangan Pemuda tidak pernah sirna dari memastikan Umno kekal relevan.

3. Di atas landasan kesinambungan ini, Pemuda Umno sentiasa berada di hadapan kelok perubahan zaman. Di kala awal penubuhan Pemuda, kita telah menggalas amanah sebagai kumpulan pendesak – sejajar dengan tuntutan era pra dan pasca penjajahan – yang akhirnya menyumbang ke arah kemerdekaan negara, dan seterusnya pembentukan Malaysia. Demi masa dan peralihan zaman, dan bersesuaian pula dengan konteks Model Baru Politik, kini Pemuda Umno telah diberi nafas baru, penjenamaan semula dan perisian semasa sebagai pertubuhan yang lebih mampan dan proaktif dalam menangani isu generasi muda. Kita percaya, untuk menjuarai suara dan aspirasi pelapis bangsa, Pemuda haruslah mampu menawarkan wadah penyelesaian kepada mereka – bukan sekadar menanam tebu di tepi bibir, terpekik terlolong menjaja retorik.

More info di MK

Komen Anda

0 Responses to "KJ: Gempur Pakatan durjana hingga berkubur"