Tuesday, 27 November 2012

Dr M: Banyak demonstrasi jika PR tewas

Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi amaran sekali lagi kepada rakyat Malaysia tentang kekecohan di jalan raya jika Pakatan Rakyat (PR) tewas pada pilihan raya akan datang serta menunding jari kepada musuh politik utamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) yang akan menggunakan demonstrasi untuk kepentingan diri sendiri.

Beliau turut mendakwa pembangkang sudah mula merancang untuk mencipta kekecohan dengan menghasut kumpulan pro PR supaya bangkit menolak keputusan pilihan raya sekiranya Barisan Nasional (BN) kekal di Putrajaya.

Namun mantan perdana menteri tersebut masih percaya BN akan dapat memperoleh semula majoriti dua pertiga di parlimen “ketika ini”, tetapi pada masa sama memberi amaran tentang taktik Anwar jika ramalannya itu benar.

“Persediaan Anwar (untuk pilihan raya) ialah (mengadakan) demonstrasi jalanan.

“Tanpa Anwar, tidak akan ada demonstrasi.

“Sejak Anwar keluar (daripada penjara), berlakunya demonstrasi,” kata Dr Mahathir semasa satu sidang akhbar selepas menghadiri forum tentang perang dan konflik di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Dr Mahathir juga menuduh Anwar semasa menjadi timbalannya di dalam kerajaan dahulunya juga menentang keras sebarang tunjuk perasaan jalanan.

“Tapi selepas dia keluar... ini (demonstrasi) menjadi strategi untuk dirinya berada di Putrajaya,” tambah Mahathir.

Beliau kemudiaan menambah walaupun percaya BN mampu menang dua pertiga majoriti, pengundi mungkin berubah fikiran apabila pilihan raya dipanggil nanti.

Punca kepada perkara tersebut menurut Mahathir adalah disebabkan oleh media memandangkan mereka mampu mempengaruhi rakyat Malaysia semasa dipeti undi nanti.

“Kamu mungkin melaporkan sesuatu yang mempengaruhi untuk tidak mengundi kerajaan... sudah semestinya kami tidak mendapat dua pertiga majoriti,” kata beliau.

Semasa ucapan perasmiannya untuk forum tersebut, Dr Mahathir memberi nasihat kepada pihak yang sanggup menggunakan keganasan dan salahguna sistem demokrasi Malaysia untuk menawan kerajaan.

Tanpa menamakan pihak tersebut, mantan PM negara itu berkata ia adalah berpunca daripada demokrasi dan kebebasan yang tidak terpelihara sambil mendakwa mereka yang menyebarkan demokrasi mungkin menggunakan cara sama untuk menghalalkan cara.

“Kadangkala perkara ini akan menyebabkan keganasan dan pembunuhan, rumah dibakar dan bangunan... mereka akan lakukan apa saja untuk menjatuhkan kerajaan,” kata beliau.

“Hal ini kerana dalam negara demokrasi baru, kami tidak menghargai sistem tersebut sepenuhnya... semasa kita mengatakan kita suka demokrasi, kita hanya suka bila kita menang tapi tidak bila kalah.”

Dr Mahathir kemudiaan menambah bahawa demokrasi menawarkan kesaksamaan kepada orangnya, hal ini akan menyebabkan berlaku konflik kerana tidak ramai yang menyokong pandangan tersebut. -TMI

Komen Anda

0 Responses to "Dr M: Banyak demonstrasi jika PR tewas"