Thursday, 29 November 2012

Debaran menunggu juara Piala PRU-13

LEDAKAN kaki kanan Dato’ Seri Lajim Ukim ternyata menjadi satu fenomena baru di Sabah. Tindak tanduk bekas Ketua Umno Beaufort itu ternyata boleh mempercepatkan nadi Umno dan BN berada di penghujung sisa.

Beliau juga bekas pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort. Lebih keramat lagi jawatannya sebelum ini Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ramai melihat ledakan “bom” diletupkan Lajim lebih terkesan berbanding era Dato’ Haris Salleh dan Pairin Kitingan mengugatkan kerajaan negeri ketika era lama.

Haris berjaya menubuh kerajaan Berjaya selepas USNO ditumbangkan. Manakala Pairin memecahkan kerajaan Berjaya sehingga melahirkan PBS.

Perkembangan itu dilihat banyak pihak sebagai satu tamparan paling hebat dalam sejarah pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak.

Maka tidak hairanlah congakkan tarikh pilihan raya umum ke-13 menjadi semakin kelam.

Lajim tampil dengan imej politik baru ketika berucap pada majlis berbuka puasa di kediamannya di Likas Jaya, dekat Kota Kinabalu Ramadan lalu.

Lajim juga mengumumkan pertubuhan baru dikenali sebagai Pakatan Perubahan Sabah (PPS). Sebulan sebelum itu beliau meletak jawatan sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu.

Tsunami politik yang berlaku menjelang pilihan raya umum 2008 tidak ada tragedi membabitkan seorang anggota kabinet keluar parti. Namun situasi sekarang berlainan berlaku.

Itu belum diambil kira dengan agenda Bersih, yang menuntut suara demokrasi lebih segar. Dalam suasana sunyi dan sekali sekala demontrasi jalanan Pakatan Rakyat tiba-tiba muncul dengan kemenangan di 82 kerusi parlimen.

Tiada sesiapa pun sangka ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi masih meraikan kejayaan cemerlang BN pada PRU 2004. Kemenangan paling berjaya dalam sejarah dengan undi popular BN lebih 90 peratus.

Ia tidak pernah dicatat ketika era perdana menteri lain.

Namun Najib cuba bangkit dengan imej baru yang bertunjang gagasan 1 Malaysia.

Selain itu rakyat juga dilunakkan dengan program transformasi nasional, BRIM, produk 1 Malaysia dan pelbagai lagi berjemana 1Malaysia.

Mungkinkah dengan pelbagai program bagi membeli jiwa dan hati rakyat membolehkan

BN melonjak kepada lebih daripada 137 kerusi parlimen, seperti dimenangi pada PRU-12.

Pakatan Rakyat pula sedang mengintai 105 kerusi kerusi bagi menafikan hegemoni keangkuhan kuasa BN.

Sekarang BN berkuasa di 137 kerusi Parlimen, manakala Pakatan Rakyat pula menguasai 75 dan Bebas 8 kerusi.

Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi. Pecahan kerusi Dewan Rakyat dari Semenanjung sebanyak 153 kerusi, manakala 25 kerusi ditawarkan di Sabah dan 31 kerusi lagi di Sarawak.

Sekiranya rakyat wilayah Borneo itu mengikut jejak langkah Semenanjung pada 2008, tentunya wajah baru politik Malaysia benar-benar menjadi sejarah.

Apakah usaha itu menjadi realiti, ketika sayap Umno di Sabah semakin patah. Lajim Ukimkah penyebabnya. Kita tunggu keberanian Najib untuk meniup wisel perlawanan bagi merebut Piala PRU-13.

-Oleh LANJUSOH (DD)

Komen Anda

0 Responses to "Debaran menunggu juara Piala PRU-13"