Thursday, 22 November 2012

Apa status siasatan suruhanjaya IC Sabah?

Tiada sebarang perkembangan berhubung keberkesanan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai projek pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah, biarpun sudah lima bulan ia ditubuhkan.

Malah, masalah berkaitan projek pemberian kad pengenalan kepada warga asing itu didakwa bukan hanya berlaku di Sabah sahaja, sebaliknya wujud di negeri lain juga.

Dakwaan tersebut dibuat ahli parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Md. Ramli, ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau mendakwa terdapat beberapa insiden permohonan untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan amat mudah dan segera diberikan.

"Mereka itu berada tidak cukup lama untuk dianugerahkan kad pengenalan. Ada yang (kerja) tukang sapu pun, dapat warganegara. Begitu mudahnya jadi warganegara. Dan kita ada masalah di negeri lain," kata beliau.

Bagaimanapun dakwaan Dr. Hatta itu disanggah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk VK Liew dengan mengatakan tugas RCI telah bermula, namun masih di peringkat prosedur mesyuarat untuk menentukan individu yang dipanggil sebagai saksi dalam inkuiri.

Mengakui masalah itu wujud sejak empat dekad lalu di Sabah, Liew berkata pihaknya mengharapkan masalah ini dapat diselesaikan dengan segera dan meminta diberi peluang dan sedikit masa untuk RCI melaksanakan kerja mereka.

Dr. Hatta, dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan bersedia meluaskan skop siasatan RCI kepada pendatang asing di Sabah kepada negeri lain di semenanjung.

Menjawab soalan tersebut, Liew berkata kerajaan tidak bercadang untuk meluaskan skop siasatan RCI mengenai projek pemberian kad pengenalan kepada warga asing selain daripada negeri Sabah.

Liew berkata skop siasatan itu kekal kerana masalah pemberian kad pengenalan kepada warga asing ini tidak wujud di negeri-negeri Semenanjung. -HD

Komen Anda

0 Responses to "Apa status siasatan suruhanjaya IC Sabah?"