Friday, 2 November 2012

AES: Satu lagi projek gagal kerajaan BN

Projek Sistem penguatkuasaan Automatik (AES) sudah menjadi polemik dan bahan cemuhan rakyat. Kali ini bukan setakat Pakatan Rakyat yang menentang, tetapi ia juga ditentang oleh Ahli Parlimen kerajaan. Semakin banyak suara yang bangkit menentang pelaksanaannya, kerana merasakan ia tidak wajar dibuat buat waktu ini. Paling tidak ada yang mendesak menangguhkan pelaksanaannya supaya ianya benar-benar difahami oleh segenap lapisan rakyat.

AES nampak seperti cantik pada nawaitu tindakannya, iaitu untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Ianya juga untuk mendidik pengguna jalan raya agar lebih berdisiplin dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Namun ramai tidak berpuashati dengan kaedah saman yang dilaksanakan terhadap pesalah jalan raya melalui kamera yang dipasang di tepi jalan raya. Timbul pula curiga bahawa pelaksanaan AES ini hanya untuk menguntungkan syarikat pengendalinya yang bakal mendapat habuan RM 16 daripada setiap saman yang dikeluarkan.

Penolakan Projek AES merupakan suatu tamparan hebat buat pemimpin BN. Projek ini menjadi suatu beban yang tertanggung kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak khususnya kepada Menteri Pengakutan Datuk Seri Kong Cho Ha. Malah sudah ada suatu desakan yang meminta Menteri Pengangkutan tersebut meletakkan jawatan sekiranya projek ini benar-benar ditentang dan ditolak di Parlimen kelak. Apakah projek ini juga menjadi suatu mesej tersirat bahawa kepemimpinan Perdana Menteri turut tercabar?

Ramai menganggap sikap terburu-buru kerajaan dalam mengengahkan sesuatu dasar itu tanpa berfikir panjang serta meminta pandangan rakyat akhirnya memakan diri. Sudah acapkali keputusan besar kerajaan dibantah oleh rakyat sehingga akhirnya ianya terpaksa ditarik balik setelah mendapat bantahan awam. Soalnya mengapa kerajaan tidak membuat kajian terlebih dahulu atau mendapatkan pandangan rakyat terlebih dahulu sebelum sesuatu dasar itu dilaksanakan? Mengapa terlalu mudah kerajaan membuat sesuatu keputusan sebelum ianya diperhalusi dari segenap sudut?

Nampaknya AES akan menjadi satu lagi projek gagal kerajaan BN. Ibarat orang tua yang semakin lemah dan nyanyuk, kerapkali tindakannya tersasar kerana lemahnya akal pemikiran serta daya ingatannya. Justeru, negara perlu diselamatkan segera dari pelbagai dasar gagal kerajaan BN. PRU ke 13 adalah pilihan terbaik buat rakyat menukar daripada kepimpinan tua BN yang terbukti gagal dan lemah kepada kerajaan PR yang menjadi harapan rakyat.


RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Komen Anda

0 Responses to "AES: Satu lagi projek gagal kerajaan BN"