Wednesday, 3 October 2012

Royalti: Dua Permohonan Kelantan Dibenarkan Mahkamah

Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan dua permohonan Kerajaan Negeri Kelantan berhubung isu menangguhkan prosiding yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpurdan permohonan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung perbicaraan isu royalti minyak.

Panel Hakim Mahkamah Persekutuan, diketuai Tan Sri Mohd Raus Sharif membuat keputusan itu setelah dipersetujui sebulat suaraoleh hakim-hakim lain, selepas mendengar permohonan dibawa peguam bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan, Tommy Thomas.

Panel hakim yang lain ialah Datuk Ahmad Maarop, Datuk Zainun Ali, Datuk Seri SulongMatjeraie dan Datuk Jefferey Tan.

Semasa prosiding berlangsung, Thomas berkata, pihaknya memohon agar kes yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggiditangguhkan sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan terhadap permohonan yang difailkan di mahkamah tersebut.

Mahkamah Persekutuan turut membenarkan permohonan rayuan yang difailkan oleh Kerajaan Kelantan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan,yang sebelum ini telah memutuskan kes saman pelanggaran kontrak terhadap Petronas dijalankan mengikut isu perundangan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini memutuskan isu dalam kes saman pelanggaran kontrak terhadap Petronas, yang difailkan kerajaan Kelantan, dijalankan melalui isu perundangan.

Kerajaan Kelantan seterusnya membuat rayuan di Mahkamah Rayuan kerana mahu kes tersebut dijalankan menerusi perbicaraan penuh untuk memanggil saksi-saksi dan barangan-barangan kes yang terlibat.

Bagaimanapun pada 26 April lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Kerajaan Kelantan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan kes saman tersebut perlu didengar dan diselesaikan mengikut isu perundangan.

Kerajaan Negeri Kelantan berhasrat untuk menjalankan perbicaraan secara penuh kerana tanpa perbicaraan penuh, ia sangat prejudis terhadap Kerajaan Kelantan.

Peguam Tan Sri Cecil Abraham mewakili Petronas.

Dalam pernyataan tuntutannya, Kerajaan Kelantan menuntut Petronas supaya membuat pembayaran tunggakan dan bayaran tunai seterusnya bagi petroleum dihasilkan di luar pantai Kelantan seperti ditetapkan dalam perjanjian petroleum; serta menuntut ganti rugi dan kos.

Dalam tuntutan, kerajaan negeri menyatakan bahawa Perjanjian Petroleum Kelantan dimeterai pada 9 Mei 1975, jelas menyebut bahawa Petronas perlu membayar tunai lima peratus daripada hasil minyak sama ada daripada usaha carigali di kawasan pantai atau luar pantai.

Ia menyatakan satu perenggan daripada perjanjian itu menyebut bahawa pembayaran hendaklah dibuat secara tunai dua kali setahun pada atau sebelum 1 Mac atau pada atau sebelum 1 September.




Komen Anda

0 Responses to "Royalti: Dua Permohonan Kelantan Dibenarkan Mahkamah"