Wednesday, 17 October 2012

Polis masih siasat buku mengenai AG

Menteri hal ehwal Undang-undang Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata polis masih menyiasat buku mengenai peguam negara bertajuk Tan Sri Gani Patail: Pemalsu, Penipu, Penjenayah.

Nazri berkata demikian dalam satu jawapan bertulis kepada MP Ipoh Timor Lim Kit Siang di Parlimen.

NONESebelum ini MP Cheras Tan Kok Wai yang juga pengerusi jawatankuasa disiplin DAP turut mengemukakan soalan kepada yang dipertua Dewan Rakyat mengenai status siasatan ke atas Gani.

Satu laporan polis juga dibuat sebelum ini oleh anggota panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung buku tersebut, yang ditulis dan diterbitkan seorang peguam, Zainal Abidin Ahmad.

Lim juga meminta Nazri menjelaskan status siasatan rasuah ke atas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Mengulas perkara itu, Nazri juga berkata siasatan berkenaan masih dijalankan SPRM.

"Siasatan kes rasuah yang dibuat oleh SPRM adalah berlandaskan undang-undang dan memerlukan beban pembuktian yang cukup kukuh sehingga mencapai tahap melampaui keraguan munasabah.

"Ini kerana penyiasatan sesuatu kes itu menjurus kepada intipati kesalahan yang melibatkan keterangan saksi, dokumen dan bukti lain yang mampu menyokong kes berkenaan," katanya.

Jawapan itu bagi menjawab persoalan sama yang turut ditimbulkan barisan MP DAP sebelum ini dalam perbahasan di Dewan Rakyat – Chong Chieng Jen (Bandar Kuching), Gobind Singh Deo (Puchong) dan Teo Nie Ching (Serdang). -MK

Komen Anda

0 Responses to "Polis masih siasat buku mengenai AG"