Monday, 8 October 2012

Pemegang KP Palsu Lepasi Imigresen?



KOTA KINABALU: Pemegang Kad Pengenalan (KP) palsu kini menyusup masuk ke dalam Daftar Pemilih, kata Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Mojilip Bumburing.

Beliau berkata ini terbongkar baru-baru ini apabila seorang Ielaki yang ditahan kerana memiliki KP Palsu didapati merupakan seorang pengundi di lnanam seperti tercatat dalam Daftar Pemilih.

Perkara ini berlaku meskipun pengumuman berulang kali oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa mereka yang memililki KP Palsu tidak mungkin didaftar sebagai pengundi, katanya dalam ceramahnya di sebuah forum yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat Sabah di Hotel Airport View, di sini pada Sabtu.

Bumburing yang juga Ketua Angkatan Perubahan Sabah (APS) mendakwa Pegawai PoIis dari Sabah yang bekerja di Semenanjung memberitahu beliau bahawa dua orang pemegang KP Palsu dengan alamat Sabah telah ditangkap di sana.

"Persoalannya ialah bagaimanakah KP Palsu boleh melepasi pemeriksaan imigresen? Ini hanya boleh dilakukan jika terdapat kerjasama tertentu," dakwanya menambah beliau terpaksa memilih kata-kata dengan cermat.

Bumburing berkata janji utama yang diberikan kepada rakyat Sabah setelah pembentukan Malaysia adalah kerajaan mesti melindungi rakyatnya.

Bagaimanapun, ini bukan hakikatnya kerana bilangan pendatang tanpa izin yang semakin meningkat, yang kemudiannya diberikan kerakyatan negara ini sebenarnya mengancam keselamatan rakyat biasa.

Beliau juga berkata Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap pendatang tanpa izin sahaja mungkin tidak cukup kerana berdasarkan pengalaman lalu, nampaknya kerajaan boleh memilih sama ada mereka mahu mengambil tindakan susulan penemuan siasatan RCI itu.

Sehubungan itu, Bumburing berkata Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah peluang terbaik dan terakhir bagi pembangkang mengubah kerajaan.

Sementara itu, Setiausaha DAP Sabah, Dr Edwin Bosi berkata nasib kaum Kadazandusun umpama Badak Sumbu Sumatra yang terancam.

Beliau berkata pada 1931 terdapat 90,257 Kadazandusun atau kira-kira 42 peratus daripada penduduk berjumlah 214,729. Pada 1963 masyarakat ini merupakan 43 peratus daripada penduduk tetapi pada 2010, Kadazandusun hanya 17.8 peratus daripada penduduk Sabah berjumlah 3.12 juta.

Dalam ceramahnya bertajuk ‘Impak Pendatang Tanpa Izin Terhadap Kadazandusun Sabah'; beliau berkata Kadazandusun telah kehilangan kelebihan politiknya dari segi bilangan.

"Peluang itu kini sudah hilang apabila beribu-ribu pendatang tanpa izin disahkan dan ramai antaranya kini berdaftar untuk mengundi. Kadazandusun sekarang hanya sesuai untuk duduk di kerusi pembangkang," katanya.

"Mereka bukan lagi kumpulan etnik terbesar di Sabah dan mereka tidak mempunyai banyak kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen yang boleh mereka kuasai. Dewan Undangan negeri yang diperluaskan daripada 48 kepada 60 telah diolah untuk memperolehi majoriti Islam di dalam Dewan undangan Negeri.

"Masyarakat Kadazandusun mempunyai kira-kira 18 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 7 kerusi parlimen. Walaupun Kadazandusun berpakat dengan masyarakat Cina, mereka hanya cukup baik untuk menjadi pembangkang kepada UMNO di Sabah," katanya.

Satu-satunya harapan masyarakat Kadazandusun adalah kebangkitan pribumi-Islam iaitu Bajau dan Irranun yang hak dan keistimewaan mereka juga terjejas oleh apa yang dikenali sebagai bumiputera baru di Sabah.

Berdasarkan itu, satu-satunya harapan Kadazandusun adalah bersatu dan menyokong Pakatan Rakyat. Pemimpin Kadazandusun mesti berani berjuang bagi hak masyarakat dalam rangka kerajaan Pakatan Rakyat.

"Apabila bercakap mengenai Kadazandusun, Pilihanraya Umum ke 13 ini bakal menjadi penentu bagi masyarakat ini," katanya.

Ketua Biro Pembaharuan Pilihanraya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Dr Chong Eng Leong mendakwa bahawa berdasarkan penyelidikannya terdapat hampir sejuta pemilih berdaftar dalam Daftar Pemilih Sabah, kira-kira 200,000 mempunyai dokumen pengenalan yang meragukan.

Dr Chong juga mengkritik terma rujukan RCI, yang katanya tidak menyebut apa-apa tentang tindakan yang akan diambil terhadap pesalah terlibat dalam pengeluaran KP kepada pendatang asing tanpa izin.

Dalam hal ini, beliau mengesyorkan beberapa tindakan untuk RCI iaitu:

l. Panggil bukan sahaja agensi kerajaan seperti jabatan Pendaftaran Negara, Polis, Jabatan Imigresen tetapi juga bekas tahanan ISA yang terlibat dalam komplot KP ini (seperti Hassnar Ibrahim, Jabar Khan, Yakup Damsah), Suhakam, NGO yang mengetahuinya serta individu seperti penulis buku Mutalib M.D. Panggil Ketua dan Bekas Ketua KWSP dan Perkeso yang tahu mengenai pencarum hantu untuk memberi keterangan dan terima sesiapa yang tampil secara sukarela untuk memberi keterangan;

2. Bukan sahaja menyiasat tetapi (i) menyelidik mereka yang bertanggungjawab dan berkuasa mengesyorkan tindakan yang wajar diambil terhadap mereka, dan (ii) mengesyorkan semakan kerakyatan warga Projek Mahathir ini serta tindakan susulan: -

O Usir semua warga asing tidak berdokumen.

O Siasat bilangan pendatang asing yang diberikan status Pemastautin Tetap di Sabah dan syor sewajarya termasuk menggunakan Laporan IGC terhadap Imigresen dan tindakan susulan:

O Menyarankan untuk menghentikan pengeluaran IMM13 atau status pelarian kepada warga Filipina, menyemak status mereka dan bertindak sewajarya;

O Pekerja asing dengan permit mesti tidak disertai tanggungannya.

O Rasuah dalam agensi berkenaan ditangani dengan serius- menanam patriotisme dalam hati rakyat kita khasnya kakitangan agensi tersebut.

O Bagi warga asing yang tidak boleh diusir, pertimbangkan untuk mengageh mereka sama rata ke seluruh Malaysia atau negara dunia ketiga.

O Siasat bilangan pendatang asing yang berdaftar dalam Daftar Pemilih dengan tujuan memadamkan nama mereka sebelum pilihanraya berikutnya. (DE)

Oleh : CHRIS MASKILONE (sabahkini)

Komen Anda

0 Responses to "Pemegang KP Palsu Lepasi Imigresen?"