Wednesday, 3 October 2012

PATI Bimbangkan Rakyat Sabah

Kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyatakan kehadiran pendatang asing secara sah atau tanpa izin di Sabah tidak menggugat keselamatan dan keadaan adalah terkawal seperti di negeri lain, adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) Kawasan Sulaman, Haji Ghulabdin Enjih berkata, kehadiran tidak terkawal begitu ramai pendatang asing secara mendadak melebihi penduduk di negeri ini mengundang kebimbangan terhadap kerharmonian dan keselamatan rakyat tempatan negeri ini akan tergugat pada masa akan datang.
Ghulabddin menyifatkan kenyataan Nazri itu sekadar melepaskan 'batuk ditangga' dan meminta agar menteri itu meletakan jawatannya kerana ia membuat perbandingan tidak tepat terhadap permasalahan dan persoalan pendatang asing di Negeri Sabah yang dinyatakannya sama terkawal seperti di negeri lain di negara ini.

"Saya ingin menasihatkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu apabila menyatakan mengenai pendatang asing di Sabah agar merujuk nasib dan masa hadapan rakyat tempatan di negeri ini yang akan terancam dengan kehadiran dan pengeluaran kerayataan kepada pendatang asing."

Ghulabddin kesal kerana Nazri berkata pemantauan berjalan dengan baik dan penguatkuasaan dikenakan kepada semua pendatang, baik sah atau tanpa izin.

"Hingga 19 September lepas, sejumlah 70,327 pendatang tanpa izin telah diusir dan dihantar pulang ke negara asal," katanya menjawab soalan Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing (Tuaran) di Dewan Rakyat, kelmarin.

"Kenyataan terbuka Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad baru-baru ini yang secara tiba-tiba muncul menyuarakan sokongan kuat terhadap pemberian kerakyatan kepada bilangan warga asing yang besar di negeri ini boleh dijadikan rujukan oleh Nazri," kata Ghulabdin yang juga Timbalan Pengerusi Koperasi Serbaguna SANYA Berhad Sabah (KOSAN).

Beliau mempersoalkan jaminan Nazri yang kehadiran pendatang asing secara sah atau tanpa izin di Sabah tidak mengugat keselamatan dan keadaan adalah terkawal, sedangkan Tun Mahathir dalam kenyataan terbukanya itu yang disokong oleh penghasilan sebuah buku yang berjodol 'IC Projek: Agenda Tersembunyi Mahathir' mengandungi banyak kebenaran dan mengundang kebimbangan terhadap nasib masa depan rakyat negeri ini.

Berdasarkan kepada satu soalan di Parlimen tahun lepas, penduduk Sabah yang berjumlah 651,304 pada tahun 1970 telah meningkat kepada 929,299 sedekad kemudian. Bagaimanapun, bagi tempoh dua dekad selepas itu, populasi Sabah meningkat secara ketara kepada 1.5 juta dan dicatat pada 2,468,246 orang menjelang tahun 2000.

Sehubungan dengan kenyataan tidak tepat dari Nazri ini, Haji Ghulabdin mengesa agar siasatan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) bagi meneliti isu pendatang tanpa izin di Sabah dipercepatkan supaya perkara yang ditunggu sekian lama itu akan dapat menjalankan sisatan secepatnya secara menyeluruh serta melaporkan keputusan penuh siasatan tersebut dengan kadar yang segera.

"Kami selaku rakyat asal di Sabah mahukan agar sisatan RCI ini juga merujuk kepada peruntukan di bawah perjanjian 20 perkara yang menjadi dasar pembentukan Malaysia pada tahun 1963 yang menyebut walaupun isu-isu dokumen pengenalan tertakluk di bawah Kerajaan Persukutuan, namun pihak-pihak berkuasa tempatan negeri mesti juga dirujuk apabila meluluskan kerakyatan kepada orang asing.

"Rakyat negeri ini telah sekian lama menunggu untuk Kerajaan Persekutuan menyelesaikan kehadiran begitu ramai pendatang tanpa izin (PTI) di negeri ini, yang telah begitu selesa mendapat peluang dan menikmati pelbagai kemudaahan yang sepatutnya khusus untuk penduduk tempatan sahaja," kata Haji Ghulabdin dengan nada yang amat kesal.

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

Komen Anda

0 Responses to "PATI Bimbangkan Rakyat Sabah"