Sunday, 14 October 2012

Nik Aziz sifatkan Nasha ‘lidah panjang’

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, yang Selasa lalu memberi peringatan agar tidak mengejar kuasa semata-mata, sebagai pemimpin ‘lidah panjang’ ekoran pendirian kebelakangan ini yang tidak selari dengan parti.

Kenyataan tegas Nik Aziz itu dikeluarkan ekoran tindakan Nasharudin yang juga Ahli Majlis Syura Pas mahu merencanakan perpaduan terutamanya melibatkan Umno dan Pas.

“(Rancangan perpaduan) itu mengarut, mengapa sekarang baru timbul, dia (Nasharudin) itu calon Pas di Bachok, sikap itu seperti 'lidah panjang',” kata beliau ketika ditemui selepas Majlis Hari Keluarga Mawaddah di Pengkalan Chepa di sini hari ini. -SH


Nasha mahu dipecat PAS kerana tidak berani langgar ‘Bai’ah’

Tindakan Nasharuddin Mat Isa memprovokasi hubungan diantara PAS dan DAP sejak akhir-akhir ini dalam isu Hudud dan negara Islam dipercayai mahu dipecat daripada parti tersebut kerana tidak berani melanggar “Bai’ah” dengan meninggalkan PAS secara sukarela.

“Jika kita lihat, semenjak dua menjak ni, Nasha agresif melaga-lagakan PAS dan DAP supaya Pakatan Rakyat (PR) berpecah," kata seorang pemimpin tertinggi PAS kepada The Malaysian Insider.

“Beliau lakukan semua ini dengan tujuan agar PAS memecat beliau dan bukannya beliau meninggalkan PAS.

“Meninggalkan PAS bererti melanggar sumpah ‘Bai’ah’ dan ini mungkin menjadi sebab besar mengapa beliau tidak tinggalkan PAS secara sukarela.

” “Bai’ah” bermaksud sumpah untuk taat kepada perjuangan Islam yang kebiasaan diamalkan oleh gerakan Islam.

Jika melanggar Bai’ah, dipercayai balasan daripada Allah akan menimpa seseorang itu.

Nasharuddin merupakan bekas timbalan presiden PAS yang gagal mempertahankan jawatannya selepas tewas ditangan Mohamad Sabu dalam Muktamar Agung PAS pada tahun 2011 dalam pertarungan tiga penjuru diantara dirinya, Mohamad dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, apa sahaja yang berlaku kepada Nasharuddin tidak akan memberikan impak yang besar kepada PAS dari sokongan.

“Pada saya, apa yang dilakukan oleh Nasha ini lebih kepada mengukuhkan orang Umno yang sudah Umno,” kata penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM) itu apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider.

Prof Mohamad juga menambah, jika Nasha meninggalkan PAS dan menyertai Umno sekalipun, beliau hanya akan mengulangi nasib pemimpin PAS terdahulu yang menyertai Umno seperti Datuk Mohd Asri Muda (bekas presiden) dan Nakhaie Ahmad (timbalan presiden).

“Jika Nasha menyertai Umno, beliau tidak akan mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada parti tersebut kerana semua sudah tahu hati dan sanubarinya bersama PAS,” katanya sambil menjadikan Datuk Dr Hasan Ali sebagai contoh terkini.

Dr Hasan walaupun telah meninggalkan PAS tidak disambut menyertai Umno sebaliknya terpaksa menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) Jalur Tiga (Jati) yang memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mempersoalkan tentang keikhlasan Nasharuddin dalam memperjuangkan agenda Hudud seperti yang dilakukan kebelakangan ini.

“Dulu masa nak yakinkan PAS menyertai Umno tubuhkan kerajaan perpaduan, Ustaz Nasa (Nasharuddin) beritahu PAS, Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) nak beri tiga kerusi menteri jika PAS bersetuju bersama Umno.

“Saya nak tanya dia, masa Pak Lah tawar tiga kerusi menteri tu, ada tak beliau dibincangkan sekali tentang pelaksanaan hukum Hudud?” kata beliau melalui perbualan telefon bersama The Malaysian Insider beberapa hari lalu.

Tambah Husam lagi dengan sinis, jika Umno benar-benar ikhlas mahu bermuzakarah dengan PAS, Nasharuddin harus diberikan laluan untuk menang tanpa bertanding di kerusi parlimen Bachok pada pilihan raya ke 13 nanti.

“Kita nak tengok Umno letak atau tidak calon di Bachok nanti,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad di parlimen beberapa hari lalu menegaskan kenyataan-kenyataan Nasha seolah-olah mempunyai agenda politik tertentu yang menguntungkan Barisan Nasional (BN) dan cuba mewujudkan ketegangan dalam PR.

“Kebelakangan ini hubungan beliau (Nasha) dengan PAS tidak serapat berbanding hubungannya dengan kerajaan (Barisan Nasional) BN.

“Kenyataan dikeluarkan jelas bertujuan untuk menguntungkan BN dan wujudkan ketegangan antara parti PR walaupun dikeluarkan tanpa bukti,” kata Khalid kepada pemberita di lobi Parlimen.

Kenyataan terbaru dikeluarkan Nasha adalah DAP cuba menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian dengan mendakwa parti komponen PR itu pernah menganjurkan majlis dan berdoa memohon negara dijadikan sebagai negara Kristian selepas DAP memenangi 12 kerusi di Sarawak tahun lalu.

Khalid turut menegaskan, perkara itu tidak pernah dibangkitkan Nasha dalam pertemuan dengan Majlis Syura Ulama sebelum ini.

Prof Mohamad bersetuju dengan kenyataan Khalid itu dengan mengatakan menjelang pilihan raya ke 13 yang semakin hampir ini, strategi Umno adalah untuk mewujudkan konflik dalam PR.

“Apabila parti dalam PR berlaga sepertimana perselisihan PAS dan DAP dalam isu Hudud, Umno dan BN yang untung.

“PR akan dilihat tidak bersatu jika terus bergaduh sesama sendiri dan inilah yang dimahukan Umno,” katanya lagi.

Komen Anda

0 Responses to "Nik Aziz sifatkan Nasha ‘lidah panjang’"